Jelajah Presiden: Santuni Akar Umbi, Penjelasan Telus Demi Perkukuh Semula Parti – Noorazli Said

SEPANG, 26 Jan – Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO yang diadakan di sini pada Ahad lalu adalah untuk menyantuni para kepimpinan dan memberikan penjelasan telus bagi memperkukuhkan semula parti keramat Melayu ini.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berkata, selain untuk menerangkan cerita belakang tabir semasa mengenai parti, pelbagai strategi turut disusun bagi mempersiapkan UMNO menuju ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Tujuan jelajah tersebut diadakan adalah untuk menyantuni akar umbi di samping memberitahu cerita belakang tabir sebenar yang tidak boleh didedahkan secara umum.

“Selain itu, banyak perbincangan dan rundingan turut diadakan terutamanya mengenai soal pengukuhan parti dan strategi… bagaimana untuk kita menarik undi anak muda dan juga pengundi atas pagar.

“Sememangnya jelajah ini diadakan pada waktu yang tepat kerana masih ramai akar umbi yang tidak mengetahui cerita sebenar bagaimana terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Walhal, pelbagai fitnah mengenai parti sedang berlegar,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar akar umbi memahami segala penerangan yang disampaikan dan terus menggembleng tenaga untuk mengembalikan UMNO ke zaman kegemilangannya.

“Natijah daripada jelajah ini, saya berharap agar akar umbi dan para kepimpinan di Sepang memahami penerangan disampaikan dan menyalurkan semula maklumat tersebut kepada rakyat.

“Marilah kita bersama-sama berusaha dan menggembleng tenaga demi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.

Timbalan Perana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir ke program jelajah ini pada Ahad di Sepang yang merupakan bahagian kedua di Selangor selepas Sabak Bernam.

Turut hadir ke program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO ini ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; dan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan kepimpinan bahagian tempatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.