Janji Ditepati, Azalina Syukur Manifesto PRU Ditunai Untuk Orang Pengerang

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ahli Parlimen Pengerang yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said meluahkan kesyukuran beliau dengan terbinanya Masjid Felda Air Tawar 5 yang sudah hampir siap sepenuhnya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ini kerana masjid tersebut adalah antara manifesto yang dibawa beliau kepada penduduk di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Apa yang saya janji, saya tepati. Dalam manifesto PRU15 ketika bertanding di Pengerang, saya telah menjanjikan pembinaan sebuah Masjid Felda Air Tawar 5.

“Alhamdulillah setakat ini, kemajuan pembinaan telah mencapai 94 peratus. Saya bersama team Pengerang dan pihak masjid meninjau kemajuan pembangunan ini petang tadi.

“Semoga masjid ini bermanfaat kepada para jemaah dan penduduk Felda untuk beribadat dengan selesa terutama menjelang bulan ramadhan yang bakal tiba,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza, beliau turut berkongsi kunjungannya bertemu usahawan di Pusat Industri Kecil Sederhana Felda Air Tawar 1 yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Azalina turut sama meluahkan keterujaan beliau apabila melihat kesungguhan usahawan tempatan yang begitu komited menjalankan perniagaan mereka.

“Saya meluangkan masa mendengar kisah beberapa usahawan tempatan seperti Keropok Lekor Wan Musa, Aniera, Aniesbella Food dan banyak lagi.

“Amat kagum dan bangga dengan kejayaan warga Pengerang di samping semangat kebersamaan memupuk keusahawanan di kalangan generasi Felda Air Tawar 1.

“Mendoakan perniagaan mereka semua terus berkembang dan dipermudahkan segala urusan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.