Dakwaan Sekadar Provokasi, Kita Komited Bangunkan Ekonomi Negeri Dan Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Selepas ‘Langkah Dubai’ yang menjadi polemik politik negara buat seketika, timbul pula desas-desus di Negeri Sembilan dengan pelbagai dakwaan.

Bagi Exco Kanan Kerajaan Negeri tersebut, Datuk Seri Jalaluddin Alias perkara berkenaan sekadar provokasi dan apa yang penting hari ini adalah membangunkan ekonomi rakyat dan Negeri Sembilan.

“Jangan ada provokasi mahu buat atau mahu ubah saya jadi menteri besar… kita komited dan akan terus menyokong dan mengekalkan Aminuddin (Datuk Seri Aminuddin Harun) sebagai menteri besar, tidak timbul isu mengenainya lagi,” katanya menerusi media sosial beliau.

Kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu lagi, persefahaman hari ini cukup baik dan tentunya tumpuan utama adalah kepentingan negeri dan rakyat.

“Saya dah berbincang bersama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin… kita komited secara bersama untuk menumpukan kerja-kerja pembangunan ekonomi dan masyarakat di negeri ini.

“Tidak ada hal urusan yang berkaitan politik… perbalahan dan sebagainya… ketika ini sudah ada persefahaman yang cukup baik,” ujarnya.

Sebagai rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diwakili 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), 17 Pakatan Harapan (PH) dan lima daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti mudah membentuk kerajaan adalah 19 kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.