RUU Untuk Kestabilan Kerajaan, Elak Diganggu Gugat Pihak Hendak ‘Tebuk Atap’ – Razlan

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menekankan bahawa cadangan agar satu Rang Undang-undang (RUU) digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) adalah untuk mewujudkan satu negara yang stabil tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang hendak ‘menebuk atap’.

Dalam hal ini, beliau menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai takut dengan cadangan diadakan RUU bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal.

Kata Razlan, cadangan itu akan juga memberikan manfaat kepada kerajaan selepas ini bagi memastikan kejadian tebuk atap seperti sebelum ini tidak berulang kembali.

“Takiyuddin dan orang Perikatan Nasional (PN) ini tak payah takut, undang-undang ini untuk sesiapa pun yang jadi kerajaan maksudnya bukan untuk kami sahaja.

“Kita sekarang sedang melihat RUU yang akan memastikan rakyat terus mendapat kestabilan tanpa diganggu-gugat oleh ahli-ahli Parlimen yang hendak menebuk atap atau broker-broker yang hendak beli ahli-ahli Parlimen ini dengan jawatan, wang ringgit.

“Jadi niatnya adalah untuk mewujudkan satu negara yang stabil setiap lima tahun, sebelum ini stabil tapi disebabkan pergolakan politik hari ini jadi ada ruang-ruang yang boleh digunakan untuk menukar kerajaan dengan sokongan ahli-ahli Parlimen yang tidak setia kepada parti.

“Itu sebab dahulu apabila kita sudah lihat ahli-ahli Parlimen ini dah guna duit, logo, tenaga ahli-ahli parti, ada juga ahli-ahli Parlimen sekarang ini yang tahu mengenang budi dan boleh melihat bahawanya parti ini tempat untuk mereka mencari kekayaan dan kemasyuran tanpa melihat jasa parti,” katanya menerusi satu hantaran video di Tiktok.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Mengulas lanjut berkenaan isu ini, Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata cadangan tersebut juga turut dipersetujui oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang melihat kepentingan untuk mengekalkan kerajaan sepenggal tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu Mohd Razlan juga turut berkongsi rintihan rakyat yang bertanya kepada beliau berkenaan gerakan daripada segelintir pihak untuk menjatuhkan kerajaan.

“Apa yang dicadangkan TPM ini disokong oleh kebanyakn NGO dan ramai dalam kalangan pengamal undang-undang serta sektor swasta lapisan masyarakat.

“Saya turun ke bawah dan lihat ramai dalam kalangan mereka yang bertanya betul ke langkah Dubai terutamanya penjawat awam, mereka ini risau kalau benda itu terjadi walaupun daripada pandangan kami sebagai orang kerajaan tahu perkara itu tidak langsung masuk akal dibuat sebab kerajaan pada ketika ini sudah ada dua pertiga,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.