Pembangunan Bakat Akar Umbi Penting Lahirkan Atlet-atlet Bertaraf Antarabangsa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Pembangunan bakat di peringkat akar umbi adalah amat penting bagi melahirkan atlet-atlet bertaraf antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini termasuk dalam kalangan anggota badan beruniform yang perlu diberi perhatian sebagai salah satu kumpulan yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan sukan tanah air.

“Pemegang taruh utama seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan persatuan sukan perlu bergerak seiringan bagi mewujudkan suatu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang berstruktur dan efektif. ‘Talent pool’ yang lebih luas memberi kelebihan bagi menggilap potensi atlet dari peringkat awal.

“Meskipun pertandingan kompetitif turut dilaksanakan di semua peringkat merentas pelbagai sektor pendidikan, saya berharap agar usaha ini dapat dipergiatkan lagi agar pencarian bakat untuk sukan berprestasi tinggi turut diperluaskan merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan institusi tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu perkongsian di Facebook selepas menghadiri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan Bil. 1/2024, hari ini.

Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut fokus kepada beberapa perkara termasuklah pemerkasaan pembangunan sukan olahraga dan renang dan penambahbaikan ekosistem kejurulatihan melalui kolaborasi rentas Kementerian.

“Atas semangat tersebut, mesyuarat bersetuju untuk mewajibkan guru serta kakitangan yang terlibat dalam kejurulatihan sukan di bawah KPM/KPT mempunyai sijil kejurulatihan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) kendalian AKK & ISN.

“Tambahan itu, mesyuarat bersetuju untuk mewajibkan jurulatih sukan di bawah KPM/KPT mempunyai lesen kejurulatihan berdaftar yang aktif di bawah Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan dan Malaysia Sports Coach Registry (MSCR).

“Malah, mesyuarat turut mewajibkan guru Pendidikan Jasmani serta jurulatih sukan di bawah KPM dan KPT untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dan atlet mengenai elemen-elemen dalam Kod Sukan Selamat.

“Insya-Allah, melalui mesyuarat seperti hari ini saya yakin melalui penyelarasan yang baik antara Kementerian, agensi dan semua pemegang taruh, pembangunan sukan negara akan dapat dipertingkatkan secara berstruktur dan mendapat hasil yang lebih baik di masa akan ada datang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.