Stampa Dihukum Penjara: Satu Peringatan Kepada Pihak Yang Cuba Ganggu-gugat Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Dr Gonzalo Stampa merupakan satu peringatan kepada pihak yang cuba menganggu-gugat kedaulatan sesebuah negara.

“Hukuman penjara terhadap Stampa dilihat sebagai satu peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mencari laba di dalam kes untuk mengganggu-gugatkan sesebuah negara berdaulat.

“Jelas sekali, siri kemenangan Malaysia di mahkamah-mahkamah di Eropah menjadikan Malaysia di pihak yang benar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

“…yang bijaksana menemukan keadilan bagi pihak Malaysia dan mempertahankan kepentingan Malaysia di dalam kes ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu pada Isnin, Azalina yang menjaga portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi berkata Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Madrid yang mendapati Stampa yang disifatkan sebagai penimbang tara ‘tidak beretika’ bersalah menghina mahkamah serta dihukum penjara enam bulan.

Mahkamah Jenayah Madrid juga melarang Stampa daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun kerana secara sedar dan sengaja mengingkari perintah dan keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid.

Azalina menyifatkan ia sebagai kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan itu juga akan membantu memelihara kesucian prosiding timbang tara antarabangsa sebagai alternatif kepada penyelesaian pertikaian.

Katanya lagi, Malaysia juga yakin keputusan bersejarah ini akan menjadi faktor pencegahan kepada tindakan tidak beretika Kumpulan Penipuan Sulu.

Tambah Azalina lagi, usaha Kerajaan Madani dalam menangani dan menghentikan penipuan Kumpulan Sulu adalah tidak sia-sia dan kerajaan nekad memperjuang kes itu demi menegakkan keadilan serta akan terus berusaha untuk membatalkan Award Akhir. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.