Kes Sulu: Kerajaan Bersungguh-Sungguh Pertahan Kedaulatan, Selari Prinsip Rukun Negara – Mohd Pehimi

KUALA TERENGGANU, 10 Jan – Kerajaan bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan negara selari dengan prinsip Rukun Negara iaitu kedaulatan undang-undang, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Mohd Pehimi Yusof.

Jelasnya, Malaysia melalui Kementerian Undang-Undang dan Reformasi Institusi jelas tidak memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk menggugat kedaulatan serta keselamatan negara.

“Dalam isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ini, penentangan yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia menggambarkan satu usaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Malaysia melalui Kementerian Undang-undang dan Reformasi Institusi jelas tidak tunduk kepada mana-mana desakan yang menggugat kedaulatan negara walaupun perlu membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa.

“Ini sangat bertepatan dengan prinsip Rukun Negara iaitu kedaulatan undang-undang. Ketegasan Malaysia tidak membenarkan sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang cuba memperkecilkan negara ini sebagai sebuah negara berdaulat dan sah,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa rakyat perlu menyedari tindakan kerajaan yang begitu tegas dalam membendung sebarang anasir dan pencerobohan asing dalam menjaga keselamatan negara.

“Oleh itu, menjadi harapan agar rakyat negara ini sedar bahawa kerajaan akan bertindak tegas dan mengambil apa saja langkah yang perlu untuk melindungi kedaulatan daripada diceroboh pihak asing sama ada melalui cara penguatkuasaan undang-undang mahupun menangani ancaman keselamatan secara tindakan ketenteraan.

“Dalam hal ini rakyat juga perlu memainkan peranan yang sama menjaga kedaulatan negara dengan tidak menjadi agen luar yang boleh membuka ruang pencerobohan di dalam negara. Setiap rakyat haruslah mempunyai jati diri yang kuat dan sikap sayangkan negara ini daripada kembali dijajah seperti dulu,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan penimbang tara ‘tidak beretika’ Gonzalo Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mahkamah sama turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.