Isu Langkah Dubai: PDRM Perlu Siasat, Takut ‘Scammer Politik’ Berleluasa – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan ke atas 120 nama yang dipercayai telah memberi akuan bersumpah (SD) kepada Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya, 120 nama tersebut merupakan perbuatan ‘scammer politik’ dan digunakan untuk mengkucar-kacirkan kestabilan politik negara.

“Isunya bukan kerajaan takut pada Langkah Dubai. Isunya PDRM kena siasat betulkah wujud SD 120 nama yang kononnya dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Apakah SD 120 nama itu perbuatan ‘scammer politik’ yang mahu kucar kacirkan kestabilan negara? Sanusi percaya pada senarai itu. Raja Petra Kamaruddin pula guna nama itu untuk babitkan Istana,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, Raja Petra mendakwa bahawa Istana telah menerima SD 120 nama tersebut dan Yang di-Pertuan Agong meminta tiga nama calon Perdana Menteri.

“Raja Petra Kamaruddin dakwa Istana telah terima SD 120 nama tersebut. Kononnya Yang di-Pertuan Agong minta tiga nama calon Perdana Menteri. Antaranya nama Hishamuddin.

“Menurut Raja Petra Kamaruddin Langkah Dubai itu gagal kerana PPBM kebudak-budakan, tidak matang, lambat dan mahu berahsia. Pokoknya mereka percaya SD 120 itu wujud.

“Sebab itu PDRM kena siasat. Mana tahu ada yang tersenarai tanpa kerelaan. Apakah ada pesuruhjaya sumpah terlibat? Kena siasat takut ‘scammer politik’ berleluasa,” katanya.

Pada Isnin media melaporkan PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci perkara tersebut termasuk berkaitan SD. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.