Perubahan Bukan Mudah… Beri Peluang Kerajaan Perpaduan Terus Tadbir Negara – Norliza

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Peluang harus diberikan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segala perubahan dapat dilakukan berdasarkan polisi yang telah digariskan.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sepanjang lebih setahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan ini, pelbagai komentar telah diberikan oleh rakyat khususnya melalui media sosial.

“Sebenarnya kita banyak dengar dalam media sosial, ada yang memberi komen baik dan tidak baik. Tetapi bagi saya, dalam sesuatu pentadbiran kita perlukan masa yang cukup untuk membuat sesuatu perubahan.

“Perubahan bukan sesuatu yang mudah. Kita harus beri peluang kepada Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk melihat perubahan atas dasar dan polisi yang telah beliau gariskan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan memberansangkan turut memberi kesan kepada negara.

“Jadi, jangan kita terlalu awal ‘condemn’ sana-sini sebab kita kena tahu di peringkat dunia sekali pun sekarang ini ekonomi adalah tidak memberansangkan. Suka atau tidak suka, ia memberi kesan juga kepada ekonomi Malaysia.

“Kalau kita terlalu berpolitik, maka rakyat akan merana di bawah. Bagi saya, kita dah tubuh kerajaan maka berilah peluang, bekerjasama dan jangan fikir perkara-perkara negatif. Fikir positif, moving forward action,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pemimpin untuk kurangkan berpolitik dan lebihkan bekerja kepada rakyat.

“Apa yang penting sekarang ini, ekonomi rakyat di bawah harus kita mantapkan. Kurangkan kepada berpolitik, lebihkan kepada kita bekerja. Berilah kepercayaan kepada kerajaan sedia ada.

“Beri peluang supaya kita dapat membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan boleh meneraju Malaysia ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan telah menjangkau usia satu tahun pentadbirannya pada 23 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Untuk menamatkan kemelut negara tidak berkerajaan selama beberapa hari, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.