Kerajaan Bantu Produk Berpotensi Ke Pasaran Antarabangsa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kerajaan akan membantu usahawan muda yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) berkata bantuan tersebut termasuk menerusi pembiayaan kewangan dan bimbingan dalam meluaskan perniagaan dimiliki mereka.

“Saya telah umumkan untuk menjemput usahawan-usahawan yang terlibat dalam pengeluaran produk-produk tempatan ini yang mempunyai pasaran yang sangat luas di negara kita.

“Kita di MARA berhasrat untuk membantu mereka bagi bimbingan untuk ke pasaran antarabangsa melalui program khas Gate To Global iaitu pintu masuk ke pasaran global.

“MARA telah mempunyai usahawan-usahawan yang berdaftar lebih daripada 500,000 dan kita akan pilih produk yang berpotensi termasuk daripada Kretip Malaya ini di mana pempengaruh yang terlibat dalam produk ini akan dibantu dari segi pembiayaan dan juga mewujudkan pasaran di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri MoodaFest yang berlangsung Rumah Tangsi anjuran Kretip Malaya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, beliau melihat pelbagai jenis produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan yang tidak seharusnya diabaikan berkobelahan mereka.

Malah katanya bantuan tersebut akan dilakukan secara berterusan dan berstruktur bagi memastikan pelaksanaannya tidak bermusim.

“Saya lihat terlalu banyak produk yang mempunyai potensi kerjasama terutama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan juga Halal Development Corporation Bhd (HDC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk kita memasarkan produk-produk ini.

“Pada hemat saya galakkan ini mesti berstruktur dan tidak hangat tahi ayam. Saya sebagai Pengerusi Majlis Usahawan dan juga pemangkin jawatankuasa Kabinet untuk francais kita akan lakukan yang terbaik membantu anak muda.

“Kita tahu dalam kalangan anak muda ini mereka mempunyai kekangan modal dan juga rangkaian antarabangsa namun pada hemat saya KUSKOP dan juga MARA di bawah KKDW akan membantu mereka bersama dengan Persatuan Francais Malaysia dan lain-lain NGO untuk membantu mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.