Tipu Pekerja Asing, Johari Cadang Kompaun Syarikat Terlibat Sebanyak RM30,000 Seorang

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengemukakan cadangan agar mana-mana syarikat atau ejen yang gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja asing dalam tempoh sebulan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau terpanggil untuk menyuarakan cadangan tersebut selepas tular laporan media mengenai kes 171 warga asing membuat laporan polis kerana ejen tidak mahu memberikan mereka pekerjaan.

“Saya telah mengemukakan cadangan untuk mengkompaun sehingga RM30,000 bagi mana-mana syarikat atau ejen yang membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menyediakan pekerjaan dalam sebulan kepada mereka.

“Jumlah kompaun yang dicadangkan ini setimpal dengan kesalahan dilakukan selain bagi menampung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal mereka yang sebelum ini ditanggung oleh kerajaan.

“Saya terpanggil untuk menyuarakan cadangan itu susulan laporan media pada 25 Disember lepas mengenai sekumpulan 171 lelaki warga asing yang berjalan kaki beramai-ramai di Pengerang, Johor mahu ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana syarikat atau ejen pekerjaan tidak mahu memberikan mereka pekerjaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, sektor perladangan masih memerlukan ramai pekerja asing dan para ejen pekerjaan ini sudah menganggap mereka sebagai sebuah perniagaan.

“Sedangkan sektor-sektor ladang negara kita yang merupakan sebahagian di bawah sektor 3D (difficult, dangerous, dirty) masih memerlukan ramai pekerja asing. Sebagai contoh, untuk sektor perladangan getah sahaja memerlukan kira-kira 70,000 hingga 80,000 pekerja bagi menampung keperluan 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil.

“Ini belum termasuk keperluan pekerjaan bagi sektor ladang kelapa sawit, koko, lada dan sebagainya.

“Jika ejen pekerjaan yang sudah membawa pekerja asing ke dalam Malaysia tetapi menunggu untuk melihat dahulu syarikat mana yang akan mereka bekalkan pekerjaan, bermakna ejen pekerjaan ini sudah membuatnya sebagai sebuah perniagaan. Ini tidak boleh dibenarkan berleluasa,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau juga bimbang sekiranya perkara ini memberi imej tidak baik kepada negara dan ianya perlu ditangani sebaiknya.

“Perkara ini menunjukkan seolah-olah ada syarikat pekerjaan yang cuba mengeksploitasinya sebagai perniagaan.

“Jika perkara ini terus berlaku ia akan memberi imej yang tidak baik kepada Malaysia kerana pekerja asing datang mengharapkan pekerjaan tetapi mereka menghadapi masalah tiada kerja apabila tiba di negara ini. Sedangkan sektor 3D sangat memerlukan pekerja.

“Bagi menangani perkara ini, isu punca kuasa juga turut dibincangkan bagi menangani masalah pekerja asing ini. Dimana ianya membabitkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.