PADU Mampu Tingkat Kecekapan Pengurusan Kumpul, Simpan Dan Urus Data Pelbagai Sumber – Wan Rosdy

PUTRAJAYA, 3 Jan – Pangkalan Data Utama (PADU) dilancarkan adalah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data pelbagai sumber.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi tersebut mampu untuk membolehkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan cekap.

“Saya menghadiri Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya.

“Pelaksanaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber. Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.

“Saya menyeru agar kita semua dapat mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi di laman sesawang rasmi PADU bermula hari ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dilancarkan dijangka dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.

Anwar berkata, peluncuran PADU adalah sejajar dengan pendekatan transformasi digital negara dan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Malah, katanya, dengan adanya sistem maklumat bersepadu itu akan menjamin bantuan dan subsidi dapat dinikmati mereka yang berhak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.