Bung Moktar Ajak Ahli UMNO Tingkatkan Iltizam, Teruskan Perjuangan Cipta Kecemerlangan

KOTA KINABALU, 3 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengajak semua ahli UMNO agar mengambil kesempatan pada tahun baharu ini untuk menanam azam bagi meneruskan perjuangan dan mencipta kecemerlangan.

Katanya UMNO khususnya di Sabah telah melalui pelbagai cabaran, ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan dalam parti, namun dengan adanya pemimpin dan ahli parti yang masih berprinsip dan setia dalam perjuangan, maka UMNO di Sabah kekal relevan serta masih berdiri kukuh meneruskan perjuangan.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa jasa-jasa parti tersebut akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika mereka gagal dalam ujian yang lebih besar pada masa akan datang.

“UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baharu demi untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata badai cabaran yang telah melanda parti dalam iklim pemerintahan kerajaan negeri yang tidak selari dengan konsep Kerajaan Perpaduan bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik dan kini bukan masanya untuk terus mengeluh serta mengenang perkara lalu.

Sebaliknya Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengajak ahli parti untuk meningkatkan usaha memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Sempena tahun baharu 2024 ini bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya dilakukan oleh pihak lawan.

“Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja, bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi. Inilah masanya bagi UMNO Sabah untuk terus mendengar denyut nadi rakyat serta mendukung aspirasi mereka yang berhadapan dengan pelbagai isu antaranya isu kemudahan insfrastruktur asas, jalan raya, air, bekalan elektrik yang belum selesai dan sebagainya,” katanya.

Bung berkata, rakyat Sabah kini dimomokkan dengan slogan yang hanya sedap di dengar tapi hakikatnya masih menunggu dan terus menunggu pembangunan tanpa kesudahan yang tuntas.

Bung menambah pengalaman dan sejarah telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata.

“Masa telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik mutakhir, memastikan parti terus segar dan relevan dan tidak diperkotak-katikan oleh pihak lain.”

Bung berkata UMNO dan rakan-rakan komponen BN perlu memastikan agar hari ini warga Sabah adalah lebih baik dari hari semalam dan di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

“Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam BN untuk terus bekerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Sabah yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negeri tercinta ini di tempatnya yang hak dalam kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi oleh negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.