Aplikasi PADU Bantu Kerajaan Susun, Belanja Subsidi Kepada Golongan Sasar Secara Tepat – Johari

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membolehkan kerajaan menyusun dan membelanjakan subsidi kepada golongan sasar dengan lebih tepat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aplikasi tersebut dibuat untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai sosio ekonomi rakyat.

“Hadir di Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

“PADU merupakan sebuah pangkalan data bagi sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan. Pangkalan data bersepadu ini dibuat bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kedudukan setiap isi rumah rakyat Malaysia.

“Dengan pendekatan digital yang tepat, ini membolehkan kerajaan menyusun dan membelanja subsidi kepada golongan sasar dengan lebih tepat serta adil bagi mengelakkan kebocoran subsidi kepada warga asing di samping manfaat-manfaat yang memberi kesan baik kepada negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dilancarkan dijangka dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.

Anwar berkata, peluncuran PADU adalah sejajar dengan pendekatan transformasi digital negara dan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Malah, katanya, dengan adanya sistem maklumat bersepadu itu akan menjamin bantuan dan subsidi dapat dinikmati mereka yang berhak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.