Kenapa Pula Bar Council? Mereka Berat Sebelah Dan Berpihak, Tegas Puad

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa Bar Council merupakan sebuah badan yang berat sebelah dan tidak seharusnya menjadi ahli Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Tegasnya, badan tersebut mempunyai sejarah mahu mencabar keputusan pengguguran kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi namun tidak langsung menyentuh kes-kes lain yang diberikan keputusan yang sama.

“Ahli Parlimen Beruas dari Dap, Ngeh Koo Ham mahu Bar Council jadi ahli Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

“Bar Council berat sebelah dan suka memihak. Badan itu mahu cabar keputusan pengguguran kes Zahid tetapi tidak pula cabar kes lain yang digugurkan walaupun ada ‘prima facie’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, badan tersebut masih lagi bertindak mendiamkan diri mengenai isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

“Seolah-olah pendirian badan itu ialah asalkan bukan UMNO. Badan peguam itu kekal senyap isu RCI Tommy Thomas walaupun memoir Tommy Thomas banyak kontroversi.

“Sebenarnya Undang-Undang Islam hanya untuk orang Islam. Jika bimbang berlaku pertindihan boleh dipertimbangkan seorang pakar perundangan bukan Islam sebagai ahli tetapi bukan untuk campur tangan. Asalkan bukan Bar Council,” katanya lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.