Ahmad Zahid Luah Kesyukuran Komitmen Wanita, Pemuda UMNO Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan komitmen Wanita UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang membantu mangsa banjir.

Kata beliau, pelbagai bantuan seperti keperluan asas juga diberikan sebagai tanda prihatin kepada mangsa banjir.

“Saya bangga melihat Wanita UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO yang telah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa yang terjejas banjir di Pantai Timur.

“Pelbagai jenis bantuan saya dimaklumkan disalurkan seperti bot, kit makanan, air mineral, makanan kering dan kelengkapan pembersihan diri untuk digunakan oleh mangsa terkesan banjir,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi, bantuan yang disalurkan juga tidak mengambil kira ideologi politik kerana perkara yang paling adalah menjaga kepentingan rakyat.

Malahnya katanya meskipun Kelantan dan Terengganu tidak dinaungi di bawah Kerajaan Perpaduan namun bantuan yang dihulur tidak bersifat memilih kasih.

“Walaupun Kelantan dan Terengganu bukanlah negeri di bawah Kerajaan Perpaduan, namun kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa diberikan keutamaan oleh UMNO di mana jua sekalipun.

“Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan kepada yang turun membantu dan semua yang terjejas akibat banjir kali ini,” ujar beliau.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 19,716 orang yang ditempatkan di 53 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di empat daerah sejak tengah malam tadi.

Berdasarkan laporan itu, di Pasir Mas sejumlah 30 PPS dibuka dengan menempatkan 15,586 mangsa membabitkan 5,102 keluarga, 11 di Kuala Krai (734 mangsa daripada 206 keluarga), 10 di Tumpat (3,231 mangsa daripada 1,147 keluarga) manakala 165 mangsa daripada 41 keluarga masih berlindung di dua PPS di Tanah Merah setakat jam 6 pagi ini.

Manakala di Terengganu, jumlah mangsa merekodkan penurunan kepada 3,022 orang yang berlindung di 37 PPS pagi ini berbanding 3,025 orang di 37 PPS pada tengah malam tadi, di enam daerah yang terjejas iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.