Teknologi Antara Pemangkin Utama Tingkatkan Industri Komoditi Negara
KUALA LUMPUR, 27 Dis – Teknologi antara elemen utama dalam memangkin industri perladangan dan komoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pemodenan dalam teknologi ini penting bagi memastikan penghasilan produk yang sistematik dan berterusan.
“Dalam industri ini ada benda yang kita rasa perlu ada pemodenan seperti teknologi, macam kita pakai ‘drone’ buat pertanian ketepatan jadi teknologi-teknologi macam ini yang menggunakan ‘big data’ dan sebagainya sangat penting kerana boleh meningkatkan kecekapan sesuatu komoditi tersebut.
“Kalau tanam kelapa sawit dan hendak tengok sama ada hujan atau tak cukup air masa enam bulan awal atau setahun, jadinya kalau kita ada teknologi kurangkan buruh untuk memantau, kemudian bila dia sampai umur tertentu tengok daun itu warna apa kemudian boleh kenalpasti jenis pemakanan atau vitamin yang tak cukup.
“Ini semua tak perlukan pemeriksaan fizikal sebab teknologi akan dapat mengendalikannya maka kita mempunyai data yang besar untuk menganalisis. Pada peringkat ini teknologi sangat diperlukan jadi secara tak langsung kita tak ada lagi suruh orang pergi periksa manual terutama ladang besar-besar 10,000, 20,000 dan 30,000 hektar,” katanya pada program Naratif Khas yang disiarkan di RTM, baru-baru ini.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Titiwangsa berkata enam komoditi utama di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah kelapa sawit, getah, kayu kayan, koko, lada, kenaf dan setiap daripadanya memerlukan strategi yang berbeza mengikut kesesuaian komoditi tersebut.
“Kalau kita tengok kayu balak memerlukan strategi yang berbeza, bila dapat konsesi balak bawa keluar yang diluluskan oleh kerajaan negeri, kemudian kita kena pastikan ada penanaman semula. Program yang bukan boleh buat dalam masa lima ke enam tahun kerana ianya mengambil masa hampir 10 hingga 15 tahun.
“Program ini semuanya ada perbezaan strategi yang diperlukan tapi yang paling pentingnya adalah penglibatan kerajaan sangat penting,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut berkongsi tiga elemen lain yang mampu memperkasa sektor komiditi negara iaitu menerusi penyelidikan dan pembangunan, keperluan global (merangkumi pensijilan, standard, kriteria) dan inovasi produk (hiliran, nilai tambah). – UMNO Online