Pas/PN Perlu Akur Jadi Pembangkang, Tiada Parti Menang Majoriti Pada PRU ke-15 – Zawawi

PASIR PUTEH, 24 Dis – Pas/Perikatan Nasional (PN) perlu akur akan kedudukan mereka selaku pembangkang selepas tiada satu parti pun dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, meskipun UMNO/Barisan Nasional (BN) membentuk kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai Dap, tiada langsung isu membabitkan agama Islam mahupun bangsa Melayu sengaja dicetuskan.

“Kalau kita lihat, bagaimana UMNO dengan Dap sekarang? Dap berada bersama-sama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Saya lihat Dap kalau ahli parti mereka melampaui batas dalam kritikan dan juga tindakan, mereka tidak berdiam diri.

“Tetapi ketika dengan Pas, PN dan PPBM… sehinggakan kita lihat aktivis-aktivis dalam Dap sanggup membuat perkara yang tidak sepatutnya. Sekarang ini berbeza dan Pas pun kena ingat bukan soal Dap atau apa tetapi soal kenyataan serta apa tujuan.

“Kalau kita tengok, Gerakan apabila nak laksanakan Hadis 40 Imam Nawawi, yang menentang kerajaan adalah mereka. Mereka ini berada bersama Pas/PN. Itulah topik yang sebenarnya,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Dap tidak pernah menolak pelaksanaan Hadis 40 Imam Nawawi sekaligus membuktikan bahawa mereka lebih terbuka.

“Kalau namanya Muhammad tetapi dia beragama Kristian, maka kafirlah dia. Tetapi kalau namanya John, ataupun Marry tetapi beragama Islam, Islamlah dia. Sama juga dengan perangai.

“Kalau Gerakan tetapi perangai anti-Islam, maka anti-Islamlah dia walaupun bersama dengan Pas/PN. Saya tidak menyokong Dap tetapi mereka tidak pernah menolak pelaksanaan Hadis 40 sebab ianya hanya diajarkan kepada anak-anak Melayu Islam.

“Ada pemimpin Dap kata, Hadis 40 ini mempunyai kebaikan dan mereka lebih selamat lagi jika dibandingkan tidak menggunakan Hadis 40. Ianya tidak pernah pun nak menyerang orang kafir,” katanya lagi.

Menurutnya, rakyat perlu menilai sebaiknya tindakan dan tingkah laku Pas/PN yang sentiasa berpaksikan kepada fatwa sendiri.

“Sebab dalam dunia ini ada dua jenis kafir iaitu harbi dan zimmi. Jadi, Pas ini kalau yang kafir itu bersama dengan mereka adalah kafir zimmi. Kalau yang bersama dengan UMNO itu semua kafir harbi.

“Dulu MCA harbi, Gerakan harbi, semua pun harbi dan yang zimmi adalah Dap. Sekarang ini, yang zimmi adalah Gerakan dan harbinya Dap. Jadi, inilah perangai yang rakyat kena tengok dan untuk mengambil kerajaan tunggulah pilihan raya nanti.

“Baru-baru ini pun tidak ada kerajaan pun sepatutnya. Rakyat membuat keputusan sehinggakan tidak ada sebuah parti pun yang boleh mendirikan kerajaan. Pas pun kena akur bahawa dia pun tidak boleh mendirikan kerajaan

“Jadi, nak marah sangat kepada UMNO kenapa? Sebab kita tidak mahu bersama dengan mereka (PN) ini kerana berbuat jahat kepada parti kita. Sekarang ini pun banyak tohmahan. Kita akur bahawa parti kita hari ini ada penurunan tetapi bumi tidaklah selalu panas, adakalanya ditimpa hujan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.