Di Mana Ahli Parlimen Era Baharu PN… Dah Jadi Wakil Rakyat Tapi Banyak Alasan
PUTRAJAYA, 24 Dis – Persoalan masyarakat tempatan adalah di manakah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini lantang melaungkan Era Baharu Putrajaya?
Dalam hal ini, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammad Hafiz Tengku Adnan membidas tindakan pemimpin PN, Datuk Dr Radzi Jidin selaku ahli Parlimen Putrajaya namun berdiam diri apabila ada rakyat yang memohon bantuan.
“Berhentilah dengan alasan tak boleh bantu orang kerana tidak ada peruntukan. Jadi ahli Parlimen adalah satu tanggungjawab.
“Kalau tunggu jawatan di Persekutuan dan nak jadi menteri baru boleh tolong orang lebih baik jangan jadi pemimpin rakyat atau ahli politik dan ahli parlimen. Hak rakyat perlu diberikan dengan adil dan bukannya disajikan pelbagai alasan,” katanya.
Ujar beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia, ahli Parlimen Putrajaya sebelum ini, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga pernah menjadi wakil rakyat pembangkang namun warga Putrajaya tetap mendapat pembelaan.
“Dulu bila Ku Nan menjadi ahli Parlimen pembangkang selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, bantuan tidak pernah berhenti sekalipun beliau ditekan dengan macam-macam tuduhan termasuk ketika negara berdepan COVID-19 dan ketika keadaan ekonomi teruk.
“Apa yang pasti wakil rakyat UMNO/BN tidak lepas tangan dan salurkan macam-macam kemudahan dalam apa juga keadaan.”
Justeru, beliau menggesa agar masyarakat membuat penilaian berdasarkan kepada apa yang berlaku.
“Saya harap rakyat khususnya warga Putrajaya sedar dengan apa yang berlaku, ini bukan era baharu tapi era gelap untuk kawasan kita,” katanya lagi.
Terdahulu difahamkan warga Putrajaya yang ditimpa musibah dan kesusahan tidak mendapat sebarang respon dari Radzi sekalipun telah dimaklumkan dan dihubungi beberapa kali. – UMNO Online