Tangani Jenayah Panggilan Scam, Azalina Maklum Kerajaan Akan Ambil Tindakan Perundangan

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan penilaian pantas mengenai cadangan pindaan perundangan sedia ada dan penggubalan undang-undang baharu berhubung prosedur bagi menangani jenayah panggilan scam transaksi kad kredit dan bungkusan yang belum dituntut.

Katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO, penilaian pantas dalam tempoh tiga bulan akan dibuat melalui konsultasi awam, dengan kerjasama ahli-ahli akademik universiti tempatan awam dan swasta mengenai cadangan pindaan perundangan sedia ada dan penggubalan undang-undang baharu berhubung prosedur bagi menangani jenayah ini.

“Saya amat marah bila kita dengar atau baca tentang kisah mangsa jenayah dalam talian. Saya sendiri juga selalu terima panggilan scam transaksi kad kredit dan bungkusan yang belum dituntut.

“Baru-baru ini, ‘scammers’ makin kreatif. Mereka buat panggilan kononnya daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan beritahu nombor telefon mangsa sedang disiasat kerana ada kes aduan,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang, setakat November 2023, jumlah kerugian yang dilaporkan melebihi RM173 juta.

“Walaupun pelbagai siasatan dan tindakan telah diambil, termasuklah tindakan membeku akaun bank yang terlibat, kita perlu teliti semula perundangan yang sedia ada agar selaras dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi.

“Saya akan kongsikan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam beliau telah mempengerusikan mesyuarat bersama badan dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.