Fokus Perkhidmatan Rakyat Lebih Utama Berbanding Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

KUANTAN, 22 Dis – Hasrat untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan masih tidak sesuai dan bakal mengundang lebih mudarat baik dari segi perkhidmatan, kewangan mahupun polemik politik.

Demikian respon Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail setelah meneliti pandangan menarik pelbagai pihak berkenaan cadangan bagi mewujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

“Ia juga bakal menimbulkan ketidakselesaan antara kaum jika tidak ditadbir urus dengan baik.

“Saya berpendirian teguh, apa jua yang hendak dilakukan, komitmen paling tinggi harus diberi dalam mengutamakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Itulah agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan,” kata Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy, sistem yang diguna pakai pada masa sekarang masih sesuai dengan kehendak semasa.

“Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah kebiasaannya dari kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik.

“Ahli-ahli Majlis pula adalah lantikan Kerajaan Negeri, yang sudah semestinya juga membawa hasrat dan agenda yang sama dengan kerajaan memerintah.

“Jika ada kepincangan, saya fikir itu adalah berkaitan dengan profesionalisme dan prestasi individu, bukan kepincangan sistem sedia ada,” tegasnya.

Seterusnya, Wan Rosdy juga meluahkan kerisauan jika dimasukkan elemen politik iaitu pilihan raya di dalam sistem ini yang mana ia akan lebih membawa mudarat.

“Boleh jadi fokus terhadap politik adalah lebih daripada fokus perkhidmatan kepada rakyat.

“Mungkin juga, kelak akan berlaku pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi. Dan itulah yang berlaku pada masa kini, yang dipilih itu kadang-kala atas dasar popular, tetapi tidak boleh buat kerja,” katanya.

Ulasnya lagi, harus juga dinilai dari sudut implikasi kewangan.

“Jutaan ringgit bakal dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya kerajaan tempatan. Mengambil iktibar apa yang berlaku di Parlimen Kemaman, RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan sekali lagi untuk adakan pilihan raya kerana salah laku pemimpin di kawasan tersebut.

“Ini boleh berlaku dalam pilihan raya kerajaan tempatan. Wang tersebut lebih baik digunakan untuk kebajikan rakyat,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan, terutamanya terhadap isu-isu yang sensitif.

“Saya melihat kadang-kala pandangan-pandangan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan provokasi, tetapi berselindung di sebalik nama demokrasi.

“Benar, ia adalah satu proses demokrasi yang baik. Namun ingatlah, sejauh manapun kita bersetuju dengan sistem demokrasi ini, janganlah sampai kita terkorban hanya semata-mata ‘atas nama demokrasi’,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.