Ahli Kabinet UMNO Dalam Kerajaan Perpaduan Berkredibiliti, Pegang Portfolio Penting

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kehadiran barisan kepimpinan baharu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan terutamanya pemimpin kanan dari UMNO akan merancakkan lagi usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Ini kerana katanya, pemimpin UMNO mempunyai kaliber dan aura tersendiri dalam memikul tanggungjawab memegang portfolio penting dalam Kabinet.

“UMNO mempunyai kredibiliti pemimpin yang baik terutamanya dalam melaksanakan segala tanggungjawab dengan portfolio yang diberikan.

“Kolaborasi efektif, kesefahaman yang jitu dan kerjasama baik antara wakil UMNO/Barisan Nasional (BN) dan ahli Kabinet yang lain bagi memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara.

“Kepimpinan UMNO perlu tegas dalam Kabinet dan menyatakan pendirian bahawa tidak boleh mana-mana satu pun komponen ataupun koalisi yang Kerajaan Perpaduan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan pada ahli parti sekaligus membuatkan UMNO hilang kepercayaan pada orang Melayu,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang turut meluahkan rasa terkilan kerana pakar ekonomi dan kewangan dari UMNO tidak dapat menjawat jawatan yang sepatutnya.

“Ada kelebihan menteri yang ditambah seperti Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi. Beliau seorang yang pakar dalam bidang kewangan dan ekonomi tetapi beliau tidak mendapat portfolio yang sepatutnya dan ini satu kerugian yang besar.

“Cuma ada sedikit yang menggusarkan apabila pemimpin UMNO tidak terlibat dalam Menteri Kewangan. Kementerian Kewangan memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan Kerajaan Perpaduan ini lebih baik,” katanya lagi.

Kata Sollehin lagi, ketika dahulu ada pemimpin UMNO yang menjawat jawatan di Kementerian Kewangan namun kini parti ini tidak ada lagi akses dalam kementerian tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan rombakan penstrukturan semula barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan dengan merombak beberapa portfolio selain memperkenalkan kementerian baharu.

Rombakan tersebut menyaksikan beberapa menteri sedia ada dalam Kabinet bertukar portfolio, memperkenalkan muka baharu di kementerian sedia ada atau memimpin kementerian baharu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.