Kepada Rakyat Kita Berkhidmat, UMNO Sentiasa Angkat Permasalahan Masyarakat – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menegaskan bahawa kepimpinan UMNO sentiasa bersama rakyat dengan mengangkat permasalahan tempatan untuk di bawa keperingkat atasan agar dapat diselesaikan.

Katanya, untuk selesaikan masalah rakyat sebenarnya adalah pemimpin yang bersama dengan rakyat, iaitu merasai jerih perih masyarakat dan memahami keperluan setempat.

“Sebab itu apabila kita nak memilih pemimpin mestilah memilih mereka yang datang dari rakyat iaitu memahami masalah rakyat.

“Kita nak menjalankan satu pembangunan yang tuntas itu mengambil masa dan mengambil duit yang banyak tetapi rakyat ada keperluan maka pemimpin tempatan membawa masalah mereka yang secara tidak langsung ia akan menjadikan satu semangat untuk UMNO terus bekerja,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menjadi panel dalam segmen ‘Masa Rehat’ yang diadakan baru-baru ini.

Terdahulu beliau telah meyalurkan bantuan dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk warga Labuan membabitkan pengagihan tong biru bagi mengatasi masalah bekalan air setempat.

“Sebelum penyelesaian tuntas iaitu melibatkan penggantian paip-paip lama yang bernilai RM2.7 juta maka kita harapkan dengan adanya 1,000 tong biru akan dapat membantu mereka yang terkesan akibat masalah terbabit.

“Agihan ini melibatkan 18 buah kampung dan kita harapkan ia akan berikan satu keselesaan kepada rakyat. Rakyat tidaklah dibebani dengan keperluan air, sekurang-kurangnya dapat bertahan apabila ada gangguan bekalan air,” katanya.

Turut bersama beliau ialah Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dan kepimpinan setempat.

Sebelum ini Mohd Rafi telah membawa permasalahan berkaitan air kepada kerajaan Pusat dan menggesa agar bantuan segera dilaksana memandangkan permasalahan air di Labuan telah berlarutan sejak sekian lama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.