Jangan Terpedaya Helah Pembangkang Cipta Persepsi ‘UMNO Hilang Kuasa’ – Gulam

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ahli UMNO perlu bersyukur dengan keberadaan kepimpinan parti yang dilantik membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar.

Menurut Gulam mereka perlu rasional berdasarkan kemenangan UMNO yang hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, mengambil faktor tersebut ahli UMNO tidak perlu melayan persepsi yang cuba dibangkitkan oleh pihak luar termasuk bekas pemimpin parti yang cuba memainkan sentimen UMNO hilang kuasa.

“Walaupun rombakan Kabinet telah berlalu seminggu yang lepas, masih ada pihak-pihak yang berada di dalam dan luar parti masih mempertikai dan mempersoalkan beberapa pemimpin UMNO tidak diberikan tempat sewajarnya.

“UMNO sepatutnya rasa bersyukur dengan lantikkan menteri dan timbalan menteri dengan hanya 26 kerusi yang ada. Jika pemimpin-pemimpin tertentu menolak lantikan itu bermakna mereka begitu pentingkan diri sebab tidak mementingkan agenda membantu parti.

“Orang di luar parti (bekas-bekas pemimpin UMNO) dok meracun, cucuk dan simbah minyak kasi hangat hati ahli-ahli UMNO dalam memainkan sentimen UMNO hilang kuasa. Hati-hati dengan naratif jahat ini, jangan kita mudah terpedaya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata ada juga pihak yang mensensasikan apabila berlakunya pertukaran kementerian dalam kalangan pemimpin kanan UMNO/BN termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Kementerian Pertahanan ke Kementerian Luar.

Malah memburukkan keadaan apabila mereka memainkan sentimen tersebut kepada Wanita UMNO, apabila pelantikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipolitikkan.

“Mempertikai lantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tidak dapat portfolio ekonomi atau kewangan. Kini, sasaran kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pula yang sanggup menerima jawatan timbalan menteri yang sebelum ini sebagai menteri penuh di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka ini tahu dengan menggunakan pemimpin Wanita seperti Noraini Ahmad sebagai peluru baru untuk merosakkan ukhwah ahli-ahli UMNO terutamanya dalam kalangan ahli-ahli Wanita yang mempunyai keahlian lebih dari 1 juta dan penyokong setia parti.

“Ayat mudah mereka, Presiden tak jaga atau bagi muka pada Wanita UMNO. Naratif membenci Presiden digerakkan dari luar menular masuk ke ahli-ahli Wanita UMNO.

“Sebelum ini Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditukar portfolio disensasikan dengan mengatakan akan membunuh karier politik Mohamad Hasan,” katanya. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.