Sudah 66 Tahun Malaysia Merdeka, Tiada Keperluan Pinda Perlembagaan Babitkan Jawatan PM – Puad

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan membabitkan jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu.

Katanya ini kerana, perkara itu tidak perlu dimainkan oleh pembangkang kerana sejak merdeka lagi sememangnya Perdana Menteri adalah dalam kalangan orang Melayu.

“Pemimpin Perikatan Nasional (PN) ambil peluang untuk panaskan lagi isu Perdana Menteri bukan Melayu yang dimainkan oleh Lim Kit Siang

“Tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan negara. Sudah 66 tahun Malaysia merdeka. Orang Melayu kekal jadi Perdana Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, rahsia utama dalam menjaga keharmonian negara adalah dengan mempunyai kepimpinan yang bersifat matang, bijaksana dalam memimpin supaya dapat mengemudi negara dengan sebaiknya.

Puad malah mengambil contoh negara luar seperti Fiji yang mempunyai konflik berkenaan latar belakang Perdana Menteri Mahendran Choudary sehinggakan Jeneral Sitiveni Rabuka yang berasal daripada etnik Fiji melakukan coup detat atau rampasan kuasa bagi mengambil alih kerajaan.

“Selagi pemimpin Melayu adil, inklusif, matang dan bijaksana, kaum lain akan beri kepercayaan terus kepada orang Melayu jadi Perdana Menteri. Jika kepimpinan Melayu didokong oleh orang tidak matang dan tidak bijaksana maka bukan Melayu tidak perlu tunggu 100 tahun lagi untuk jadi Perdana Menteri.

“Mendesak pindaan perlembagaan adalah tidak bijaksana. Tidak perlu cara paksa. Kita tidak perlu meniru negara Fiji. Mahendran Choudary etnik minoriti India pernah jadi Perdana Menteri Fiji. Partinya menang pilihan raya. Jeneral Rabuka buat coup detat agar etnik Fiji dapat balik jawatan Perdana Menteri.

“Apakah politik tidak bijaksana itu mahu dicontohi? Tidak perlulah PN mainkan isu ini untuk raih sokongan orang Melayu. Lupakanlah kaedah tebuk atap atau ‘langkah’. Itu pun jenis coup detat juga,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Isu ini dibangkitkan selepas rombakan Kabinet pada minggu lalu, yang menyaksikan Perdana Menteri, melakukannya pertama kali sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Rombakan itu melibatkan pertukaran portfolio menteri-menteri sedia ada serta penyertaan baharu antaranya Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.