Rombakan Kabinet: Usaha Kerajaan Perpaduan Tambah Baik Urus Tadbir Negara – Mohd Imran

SABAK BERNAM, 17 Dis – Rombakan kabinet yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah satu usaha Kerajaan Perpaduan untuk menambah baik pentadbiran negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, sepanjang setahun pemerintahan pelbagai usaha telah dilakukan Kerajaan Perpaduan khusunya dalam tatakelola dan reformasi pentadbiran.

“Pada pandangan saya, setahun Kerajaan Madani yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mengembalikan keyakinan bukan sahaja rakyat bahkan negara-negara luar.

“Banyak penambahbaikan yang telah dibuat khususnya berkenaan dengan tatakelola dan reformasi dalam pentadbiran. Ianya dilaksanakan secara berterusan. Di samping itu, beberapa polisi dan dasar negara khususnya yang pernah mendapat tempat di hati rakyat ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2018 dapat diteruskan semula,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan merupakan sebuah kerajaan yang terbuka dan mengambil pandangan semua pihak khususnya dalam perkara melibatkan rakyat.

“Namun kita juga tidak boleh mengetepikan beberapa pandangan yang mungkin dianggap sebagai kritikan terhadap kerajaan. Tetapi, saya percaya dalam tempoh setahun ini telah banyak kejayaan dan penambahbaikan yang dibuat namun masih ada ruang untuk diperbaiki pada masa akan datang.

“Apa yang bagusnya, kerajaan hari ini sangat ‘transparent’ dan terbuka kerana mengambil pandangan semua pihak untuk bergerak ke hadapan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa perubahan kabinet yang dilakukan mampu untuk memperkukuhkan segala perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar melibatkan rakyat.

“Rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah satu perkara yang asing. Ia adalah perkara rutin yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan dan pernah juga berlaku sebelum ini. Dilihat terdapat beberapa penambahan ataupun pecahan portfolio dilakukan.

“Ini akan menambah baik urus tadbir negara dan para menteri khususnya dapat memberi fokus kepada portfolio-portfolio tertentu. Ini termasuklah mewujudkan jawatan Menteri Kewangan kedua yang akan memberikan nilai tambah dalam kerajaan ini khususnya membantu perdana menteri dalam menguruskan kementerian tersebut khususnya berkaitan dengan dasar ataupun polisi termasuklah pentadbiran harian.

“Beberapa tokoh politik dan juga korporat baharu di bawa masuk ke dalam pentadbiran kerajaan. Ini akan memperkukuhkan lagi pelaksanaan dasar-dasar untuk terus memacu pentadbiran negara kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Imran turut berpandangan bahawa portfolio-portfolio pentadbiran kerajaan telah disesuaikan mengikut latar belakang Menteri dan Timbalan Menteri.

“Dari segi politik saya percaya, ianya akan memberikan pengukuhan terutamanya apabila tokoh-tokoh seperti Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat… dan juga Datuk Seri Johari Ghani turut dilantik sebagai menteri penuh bagi mengemudi Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Pertukaran beberapa portfolio itu saya lihat dijajarkan berdasarkan kesesuaian latar belakang dan juga kepentingan sesebuah kementerian tersebut. Peranan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO terus dikekalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Ini juga akan memastikan segala perancangan selama setahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi dan juga menyeluruh di seluruh negara menjelang tahun hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut percaya bahawa perubahan kabinet ini bakal memberikan kesan positif kepada negara sebelum melangkah ke tahun baharu.

“Saya percaya peranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengemudi Kementerian Luar Negeri ini akan membantu negara untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik di samping memberikan nilai tambah kepada pelaburan dan hubungan perdagangan antara negara.

“Ini mungkin akan memberikan kesan positif untuk kita melangkah masuk ke tahun baharu yang akan datang kerana kerajaan ini akan terus mengemudi dan memacu negara untuk tahun-tahun berikutnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.