Rakyat Sabah Perlu Bersatu Realitikan MA63 Bersama UMNO, Hentikan Politik Tuding Jari – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 15 Dis – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed menegaskan bahawa rakyat Sabah melalui parti-parti politik yang ada perlu bersatu bagi memastikan masa hadapan lebih baik khususnya merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, sudah sampai waktunya politik cara lama dihentikan dan tidak lagi ada tuding jari atau ada pihak yang mahu jadi hero berkaitan tuntutan terbabit.

“MA63 adalah untuk rakyat Sabah. Kita perlu membuat rundingan meja bulat, iaitu melibatkan semua parti dengan sama-sama ketepikan ideologi untuk menuntut hak kita sebagai rakyat Sabah.

“Sampai bila mahu selesai kerana kita mahukan MA63 ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan. Kita tak mahu tindakan semberono, atau mencari politik murahan,” katanya menerusi siaran dalam media sosial DemiSabah.com. semalam.

Dalam hal ini, beliau memaklumkan bahawa UMNO bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada semua parti bagi memastikan perbincangan berkaitan tuntutan yang dilaksana demi rakyat Sabah dapat dilaksana.

“Rundingan ini dibuat supaya kita dapat mengenaplasti dan memperhalusi apa yang kita nak. Rakyat Sabah tidak mahu dibuai dengan permainan politik.

“Apabila kita duduk satu meja kita boleh berbincang, bagaimana kita bertindak bersama-sama sebagai rakyat Sabah. Kita masing-masing ada parti politik namun atas tuntutan Negeri Sabah kita mesti ada kebersamaan.

“Kita mahukan ‘ending’ atau ‘final’ usaha kita adalah MA63 ini dilaksanakan. Kita perlu ada kebersamaan tentang apa yang kita mahukan iaitu tuntutan atau solusi keseluruhan kepada rakyat Sabah. “

Ujarnya, sekiranya asyik tuding menuding jari maka sampai bila-bila pun akan tiada hasil.

“Semua parti perlu ada wakilnya dan tuntut bagaimana perjuangan tuntutan ini dilaksana untuk rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.