Kabinet Lulus Pembinaan Projek WISE – MB Perak

IPOH, 14 Dis – Kerajaan Perak mengesahkan Kabinet telah meluluskan projek pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sepanjang 60 kilometer (km) yang menghubungkan antara Gopeng dengan Kuala Kangsar pada 13 Disember lalu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kos pelaksanaan projek itu akan ditanggung sepenuhnya di bawah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

“WISE adalah satu kaedah bagi menyelesaikan masalah trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terutama apabila berlaku kemalangan di Terowong Menora, pengguna lebuh raya tiada laluan alternatif lain dan terpaksa menggunakan Jalan Persekutuan di Sungai Siput.

“Jadi selepas ada WISE ini, apabila berlaku kemalangan (di PLUS), maka mereka boleh menggunakannya sebagai laluan alternatif dari Gopeng ke Kuala Kangsar bagi mengelakkan kesesakan trafik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Perak Economic Outlook 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap pelaksanaan projek berkenaan termasuk daripada aspek perolehan tanah daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya optimis pembukaan WISE kelak akan memberi impak positif selain pelengkap kepada jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

“WISE akan merancakkan lagi negeri memandangkan sebahagian besar jajaran WCE telah dibuka kepada kenderaan awam. Jadi, ia akan menjadi pelengkap antara satu sama lain,” katanya.

Pada 16 Sept lalu, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan projek pembinaan WISE berada dalam fasa rundingan akhir selain dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember ini.

Pada perkembangan lain Saarani berkata kerajaan negeri bercadang membangunkan makmal nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Simpang Pulai di sini, namun keputusan tersebut tertakluk di bawah kelulusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Beliau berkata lokasi berkenaan dilihat bersesuaian kerana ia merupakan milik penuh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang juga merupakan antara agensi berwajib bagi pembangunan projek NR-REE di Perak.

“Buat masa ini, permohonan serta kertas kerja berkaitan pembangunan makmal ini kita telah serahkan kepada kementerian dan mudah-mudahan proses (kelulusan) ini berjaya serta kita dapat mulakan.

“Makmal ini dikongsi bersama antara MB Inc, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP),” katanya pada program yang dihadiri lebih 700 peserta yang bertujuan memfokuskan kepada usaha bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri sepertimana digagaskan dalam Perak Sejahtera 2030. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.