Beri Sokongan Dan Kesepaduan Pada Kerajaan Perpaduan Demi Masa Depan Negara – Manndzri

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Meskipun baharu setahun Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof pelbagai inisiatif dan strategi yang kukuh telah direncana dalam usaha meningkatkan semula taraf rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib barisan Kabinet berjaya menjana pelbagai strategi selain menekankan tatakelola yang baik dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Janganlah kita apabila berlari-lari ada yang tarik menarik dan akan melambatkan proses pembangunan. Kita kena ‘trust’ proses, beri sokongan, lihat setahun ke setahun dan mudah-mudahan Kerajaan Perpaduan ini mampu membawa negara ini gagah kembali.

“Kita nampak kesepakatan, kesepaduan dan perpaduan dari masyarakat kepada pimpinan di peringkat negeri dan rangkaian menteri-menteri Kabinet dan mudah-mudahan negara dapat pergi dengan lebih baik.

“Perjalanan sebuah bahtera bukan tentang kapten sahaja tetapi kelasi-kelasi perlu bersedia dan bersungguh-sungguh bersama-sama melayari bahtera. Rakyat sebenarnya harus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan supaya segala ikhtiar, inisiatif dan kesungguhan untuk hadapi cabaran ini supaya Malaysia dapat keluar dari keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik dan paling utama ekonomi negara,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Manndzri, dalam Kerajaan Perpaduan ini ramai yang berpengalaman dan pernah menjawat jawatan menteri mahupun timbalan menteri.

“Kerajaan Perpaduan ini adalah gemblengan antara pasukan yang ada pengalaman termasuk juga menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak, kemudian pasukan baharu dari Pakatan Harapan (PH) ini adalah satu pasukan yang penuh dengan idea.

“Jadi… satu pasukan yang penuh dengan idea, satu pasukan dengan pengalaman, bergabung dan sesuai untuk mendepani cabaran pada era ini. 

“Pencapaian dan kejayaan yang dikecapi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan selama setahun ini adalah hasil kerjasama seluruh pasukan di semua kementerian,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.