Konsep Rahmah Diperkenal Kerajaan, Bawa Manfaat Kepada Keseluruhan Rakyat – Azhari

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan bahawa konsep Rahmah yang dibawa kerajaan pada hari ini memainkan peranan kepada agenda prihatin rakyat.

Katanya, ini kerana inisiatif Rahmah yang diperkenalkan bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata memberikan faedah kepada rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup.

“Konsep Rahmah ini sangat memberi kesan kepada kehidupan rakyat seharian dengan kenaikan kos sara hidup. Jadi, dengan konsep ini dapat memberi speed over yang menyeluruh kepada masyarakat.

“Bagi saya ianya menyeluruh untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Baru-baru ini saya melihat banyak lagi golongan diberi perhatian antaranya petani, peneroka dan nelayan dengan bantuan-bantuan yang disalurkan. Malah, difahamkan akan ditambah lagi bantuan Rahmah ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu berkata, sepanjang setahun pentadbiran di bawah Perdana Menteri, pelbagai isu rakyat yang mendapat perhatian beliau.

Menurut beliau, ianya termasuk perkara yang dilihat terpencil seperti isu tandas sekolah.

“Banyak juga isu rakyat hari ini difikirkan secara teliti oleh kerajaan Pusat, contohnya isu yang kadang kita tidak fikir seperti tandas sekolah dan kemudahan awam.

“Kita nampak bahawa Perdana Menteri sangat titik berat. Ianya nampak macam benda kecil tetapi sebenarnya isu lama yang tidak diberi perhatian,” ujar beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri pada awal pentadbirannya memperkenalkan pemberian pelbagai jenis bantuan dan inisiatif bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar antaranya menerusi inisiatif Payung Rahmah.

Ini dilaksanakan menerusi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah, Pakej Jalur Lebar Rahmah, Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), malah kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah 2023 kepada 8.7 juta penerima dan memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

Anwar malah pada Belanjawan 2024 turut memaklumkan projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah juga hampir siap sepenuhnya pada tahun ini.

Dalam pembentangan itu, Anwar berkata, tidak boleh diterima akal bahawa para pelajar dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.