Tiada Masalah Bincang Soal Ekonomi Melayu Demi Kepentingan Nasional – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Untuk kepentingan nasional dan nikmatnya bakal dikongsi oleh kaum-kaum lain maka tiada masalah sekiranya ada kongres yang membincangkan soal ekonomi Melayu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ini kerana katanya, orang Melayu harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi demi Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni.

“Kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu… harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi.

“Sejarah telah membuktikan jika agenda Melayu dan kepentingannya terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik serta sosioekonomi negara juga turut akan terjejas keseluruhannya. Mundur Melayu, mundur jua lah negara.

“Jadi, apa masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu? Ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya yang akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain, seperti dinikmati sekarang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, tiada apa-apa halangan untuk mana-mana kaum mengadakan kongres seperti yang dimaksudkan.

“Paling mustahak, tidak ada halangan untuk mana-mana kaum pun di bumi Malaysia ini mengadakan kongres seperti ini.

“Masyarakat Cina sebagai contoh, punyai banyak kongres dan perbincangan yang diadakan melalui pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan ekonomi. Namun ia tidak langsung dijadikan isu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan dalam menggunakan agenda perkauman dan menyentuh isu 3R (raja, bangsa dan agama).

“Malah saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas kerajaan negeri kepada persatuan-persatuan ini.

“Justeru pesan saya, jangan cuba percik api perkauman dalam agenda yang melibatkan 3R. Jangan nampak terlalu terdesak, risau nanti tersedak,” katanya lagi.

Pada 14 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Kongres Ekonomi Melayi akan dianjurkan seiring dengan tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Kongres tersebut akan diadakan pada Januari 2024, bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping memperkasa golongan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.