Setahun Kerajaan Perpaduan… Hadiah Kestabilan Politik Berharga Untuk Rakyat – Azmi

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Kestabilan politik yang diterjemahkan sepanjang setahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan merupakan hadiah paling berharga untuk rakyat.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kestabilan yang dibawa oleh kerajaan ini dijangka akan berterusan sehingga terbubarnya Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kestabilan politik yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan mungkin akan terjemah bukan untuk setahun ini sahaja tetapi tiga atau empat tahun lagi sehinggalah Parlimen itu dibubarkan.

“Itu adalah hadiah yang paling berharga daripada Kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia kerana sejak tiga atau empat tahun lepas kita melihat perubahan kerajaan dalam masa 22 bulan, satu tahun… bertukar perdana menteri dan kerajaan kerana permainan perebutan kuasa.

“Tetapi dalam keadaan sekarang dengan kestabilan dan sokongan yang diberikan oleh empat tunjang utama iaitu Pakatan Harapan (PH), UMNO/Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta juga Gagasan Rakyat Sabah (GRS) membuatkan kerajaan itu stabil sekali,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kestabilan politik yang ditunjukkan mampu memberikan keyakinan kepada para pelabur untuk melabur di negara ini.

“Sebab itulah saya katakan hadiah yang paling utama adalah kestabilan politik. Dari kestabilan politik inilah datangnya keyakinan para pelabur untuk melabur di Malaysia kerana mereka yakin tidak akan bertukar kerajaan dan dasar,” katanya.

Jelasnya lagi, keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan ini merupakan hikmah yang membawa kepada kestabilan pentadbiran negara.

“Ramai yang memperlekehkan peranan UMNO sebenarnya. Ya, walaupun UMNO hanya mempunyai 30 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan ramai yang mengatakan bahawa UMNO tidak boleh menongkah arus, tidak mampu menawan dan melawan Dap dalam kerajaan.

“Tetapi, hakikatnya kalau UMNO menarik diri seperti yang diuar-uarkan, maka runtuhlah Kerajaan Perpaduan. Sekiranya 30 itu ditarik masih mencukupi untuk perdana menteri menubuhkan kerajaan tetapi kesan rantaiannya akan berlaku.

“Jadi, dengan kekalnya UMNO dalam kerajaan ini ia merupakan hikmah yang menstabilkan Kerajaan Perpaduan dan tidak dilihat dalam sudut pandang lebih positif dalam hal ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azmi turut beranggapan bahawa UMNO memainkan peranan yang begitu besar untuk kesejahteraan negara dan rakyat supaya keadaan politik kembali stabil.

“Sebab itu saya melihat bahawa UMNO diperlekehkan tetapi peranan yang dimainkan UMNO begitu besar sekali. Kalau UMNO mengikut kehendak hati seperti ahli-ahlinya yang mahu memutuskan kerjasama dengan Dap, runtuhlah kerajaan maka kita akan pergi kepada pilihan raya sekali lagi.

“Ianya tidak ubah seperti tiga atau empat tahun lepas nampak gayanya. Apa yang dilakukan UMNO ini adalah seperti mengorbankan diri sendiri tetapi demi untuk kesejahteraan negara dan rakyat supaya politik kita lebih stabil,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.