Setahun Kerajaan Perpaduan Bukti Usaha Keras Untuk Kesejahteraan Rakyat – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat sambutan setahun bersama Malaysia Madani di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sahaja memberikan ruang kepada rakyat untuk bersama-sama dengan pelbagai agensi kerajaan malah memperlihatkan sokongan kepada kerajaan perpaduan hari ini.

Beliau yang turut berkesempatan pada majlis perasmian penutup malam tadi seterusnya menambah pelbagai program yang diatur termasuklah daripada KPT sendiri menerusi pelbagai agensi memberi ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan sebagainya lagi berkaitan kemasukan ke IPTA dan pelbagai yang lain.

“Saya turut berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Setahun Bersama Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

“Majlis yang dihadiri oleh ribuan masyarakat ini mencerminkan sokongan padu diberikan kepada Kerajaan Perpaduan yang terbentuk pada hari ini.  Semasa sesi dialog oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama rakyat, ruang dibuka seluas-luasnya untuk mendengar sebarang soalan mahupun lontaran pandangan serta idea daripada mereka.

“Dalam sesi dialog tersebut, turut menyentuh berkenaan soal orang muda dan mahasiswa. Antaranya ialah isu Wifi di kampus, Menu RAHMAH, penambahbaikkan aspek penginapan pelajar dan Artificial Intelligence (AI),” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya berharap program seumpama itu dapat meningkatkan pemahaman dan kepercayaan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini berusaha keras untuk kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

“Saya turut berkesempatan melawat reruai KPT yang diadakan pameran berkaitan Pendidikan Tinggi. Antaranya ialah kaunter peningkatan kerjaya, kemasukan terus ke IPTA, konsultasi Pendidikan Tinggi, kaunter PTPTN, klinik bergerak dan banyak lagi.

“Semoga program berimpak tinggi ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat betapa seriusnya kerajaan pada hari ini berusaha ke arah kesejahteraan dan kemajuan masyarakat dan negara, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.