Menelusuri Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani Terus Perkasakan Kesejahteraan Rakyat – Rahman

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan untuk beliau berkhidmat di Kementerian Kerja Raya (KKR).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan peluang yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu amanah dan matlamat yang sama ke arah memperkasakan dan kesejahteraan rakyat.

“Syukur… atas kesempatan dan peluang yang diberi untuk saya berkhidmat di KKR bersama pasukan yang mempunyai satu matlamat yang sama itu ke arah kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya matlamat ini juga turut sama disokong oleh semua parti politik khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memperkasa agenda Melayu dan juga kaum-kaum lain di Malaysia.

“Sebagai insan kerdil dalam parti UMNO yang telah diberi mandat dan peluang yang cukup luas serta melihat setahun usia pentadbiran ini sebagai satu refleksi untuk mencari ruang nilai tambah dalam meningkatkan lagi prestasi kementerian dan diri sendiri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis menjelaskan dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Madani terutamanya di peringkat KKR dan agensi turut menempa pelbagai pencapaian dan kejayaan cemerlang, antaranya berjaya mencapai pengiktirafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) dengan kategori Platinium.

“MyGPI merupakan indeks penilaian prestasi menggantikan Sistem Star Rating yang dilaksanakan oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebelum ini ke atas 27 kementerian dan lima Agensi Pusat dan Jabatan Utama (APJU). Penilaian MyGPI ini telah dilaksanakan pada tahun 2022 bagi mengukur prestasi dan kecemerlangan sistem penyampaian sektor awam bagi kluster Kementerian dan APJU.

“Selaku peneraju infrastruktur negara, pelbagai projek pembangunan infra rakyat telah dibangunkan oleh KKR. Tahun ini sahaja terdapat beberapa projek infrastruktur yang telah siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan awam, antaranya ialah Jambatan Sejagop, Bagan Datuk, Perak. Fasa dua lebuh raya SUKE, Projek Jajaran Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 5A dan Pakej 5B. Pembukaan lebuh raya bertingkat seksyen 6, lebuh raya WCE dan pembukaan lebuh raya Setiawangsa-Pantai (SPE).

“Seperti yang sedia maklum juga, projek lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak adalah amat sinonim dengan KKR. Status kemajuan semasa bagi projek lebuh raya Pan Borneo Sabah adalah 86 peratus siap (15 pakej) dan bagi projek lebuh raya Pan Borneo Sarawak adalah 98 peratus siap,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama kata Abdul Rahman, Kerajaan Madani menekankan nilai utama yang banyak menyentuh tentang peradaban manusiawi.

“Inilah nilai dan kesungguhan Kerajaan Madani, satu hala tuju yang cukup jelas dan dalam maknanya. Seiring dengan matlamat yang sentiasa menekankan tentang program-program atau projek yang mesti memberi manfaat kepada rakyat.

“Inilah bukti tekad kerajaan apabila dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menitikberatkan pembangunan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai.

“Dengan 17 anjakan utama, termasuk penekanan dalam ekonomi Islam dan RMK12 ini dapat membawa satu pembangunan dan kemajuan yang lebih signifikan,” ujarnya.

Katanya, sempena usia setahun Kerajaan Madani, adalah diharapkan semoga kerajaan ini akan terus berdiri kukuh dan terus dipertahankan dengan asas-asas kesefahaman yang telah dipersetujui bersama demi keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.