UMNO Akan Terus Cakna, Prihatin Masalah Rakyat – Nik Mohd Nadzri

KENINGAU, 11 Dis – Kepimpinan UMNO Bahagian Keningau akan terus menerus cakna dengan nasib rakyat yang ditimpa pelbagai musibah sebagaimana kebakaran, kematian dan lain-lain lagi namun turut prihatin kepada isu-isu pembangunan infrastruktur asas yang menjadi kemudahan kepada penduduk setempat.

Hal ini direalitikan oleh Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi bersama kepimpinan bahagian yang turun padang bertemu rakyat di lapangan.

Katanya, masalah perhubungan jalan raya di kampung Belilingi Lingkudau dekat sini mengalami kerosakan serius sehingga menyukarkan perjalanan penduduk kampung untuk keluar ke pekan Keningau.

“UMNO Bahagian Keningau menerima aduan penduduk kampung di sini berhubung kerosakan jalan raya terbiar lama yang menjadi yang laluan utama penduduk, lantas kami melaksanakan gerak kerja turun padang meninjau dan memastikan kesulitan pengguna jalan raya di sini dibantu,” katanya ketika meninjau kerosakan jalan di kampung Belilingi Lingkudau dekat sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Nik Mohd Nadzri berkata UMNO Bahagian Keningau dengan kemampuan yang ada telah menyampaikan sumbangan beberapa buah lori batu kerikil agar jalan raya terbabit boleh diperbaiki segera.

“Saya difahamkan penduduk kampung ada memohon peruntukan dari kerajaan untuk memperbaiki jalan raya ini, bagaimana pun sehingga kini belum ada sebarang kelulusan diterima, justeru UMNO Bahagian Keningau mengambil langkah awal untuk tindakan jangka pendek dengan menghulurkan bantuan batu kerikil agar jalan raya yang rosak ini boleh diperbaiki segera,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Nik Mohd Nazri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah berharap kerajaan melalui kementerian yang bertanggungjawab agar dapat memperbaiki segera jalan raya ini malah rakyat berharap jalan raya ini dapat dinaik taraf menjadi jalan bertar.

“Saya yakin kerajaan yang ada hari ini akan lebih cakna masalah penduduk di kawasan ini, dan apabila jalan raya ini dapat dinaik taraf bukan sahaja dapat menyediakan laluan yang lebih selesa kerana ia sekali gus akan dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat untuk membawa keluar hasil-hasil pertanian dan sebagainya agar dapat dipasarkan ke pekan Keningau,” tambah Nik Mohd Nazri lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.