Tidak Perlu Layan… UMNO Perlu Ke Depan Dengan ‘Road Map’ PRU-16

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan kepimpinan parti tidak seharusnya melayani lagi pelbagai lontaran dan juga saranan berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya terus dengan ‘road map’ yang sedia ada khususnya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagi beliau pengalaman kerjasama sebelum ini seharusnya menjadi pengalaman yang cukup bermakna dan apa yang penting hari ini adalah parti perlu bergerak ke depan dan tidak perlu lagi sama sekali menoleh ke belakang.

“Sejak akhir-akhir ini ada pula beberapa pemimpin utama Bersatu/Pas meminta UMNO memikirkan kembali hubungannya dengan Pakatan Harapan (PH) serta menawarkan bersama dengan PN untuk tubuhkan kerajaan yang baru. Pelik bin ajaib kan.

“Bukankah mereka adalah ‘hater’, musuh politik kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid serta bercita-cita mahu kuburkan UMNO. Pelbagai nista, kejian dan tuduhan dilempar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum ini. Apa muslihat dan agenda mereka ini, hanya Alah SWT yang Maha Mengetahuinya,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi kenyataan tegas daripada Presiden UMNO sebelum ini amat bertepatan dan apa yang utama adalah perkukuhkan perjuangan sedia ada untuk terus mengorak langkah ke depan.

“Pandangan saya mudah, kenapa perlu layan dengan cadangan ini. Pihak PN sebenarnya ibarat ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Kita pernah berpengalaman dan bekerjasama dengan mereka tetapi dikhianati.

“Ingat… jangan dipatuk ular dua kali dari lubang yang sama. Bacaan politik saya mereka ini seperti pepatah Melayu ‘telunjuk lurus kelingking berkait’. Kita terus fokus dengan apa yang telah dipersetujui di dalam ‘roadmap’ kita untuk PRU16.

“Akhir kata, setuju dengan kenyataan Presiden yang begitu tegas bahawasanya PN hanya berangan atau suami yang gila talak untuk UMNO bergabung semula dengan mereka untuk tubuhkan kerajaan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.