Puteri UMNO Johor Beri Komitmen Sebagai Satu Pasukan Di Bawah Pengerusi BPUN Baharu – Rina Farhana

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor akan memberikan sepenuh komitmen yang tidak berbelah bagi untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memperkuatkan hubungan antara UMNO dan masyarakat Johor.

Ketuanya, Rina Farhana Abdullah berkata Puteri UMNO Negeri Johor akur akan pengumuman dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melantik Menteri Besar Johor berkuat kuasa serta-merta, semalam.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi BPUN Johor yang berkuat kuasa pada 7 Disember 2023.

“Dengan tulus hati, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor akan memberikan sepenuh komitmen yang tidak berbelah bagi untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memperkuatkan hubungan antara UMNO dan masyarakat Johor.

“Harapan kami agar kerjasama ini membawa manfaat kepada parti dan rakyat negeri Johor. Keputusan yang telah diputuskan dengan semangat permuafakatan diterima dalam suasana penuh harmoni menunjukkan tanda kecemerlangan dalam kepemimpinan UMNO Johor,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, dengan wujudnya jalinan yang utuh akan memperkuat daya saing antara kepemimpinan Kerajaan Negeri dan UMNO Johor.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor berharap dan percaya bahawa ini akan menjadi penanda aras bagi kemajuan, kestabilan, dan kemakmuran negeri Johor yang menjadi idaman bersama.

“Landskap politik yang bersih dan penuh ketelusan yang diamalkan oleh UMNO Johor tidak hanya membuktikan kecemerlangan tetapi juga memberikan sumbangan yang signifikan terhadap kemajuan dan kesejahteraan negeri Johor secara keseluruhan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor menzahirkan penghargaan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas jasa bakti selama berkhidmat sebagai pengerusi.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas jasa dan bakti yang ditaburkan selama berkhidmat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.