Pesuruhjaya Pas Sabah Dibidas, Cermin Diri Sebelum Serang Pihak Lain – Jamal Nerubi

KOTA KINABALU, 8 Dis – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi membidas Pesuruhjaya Perhubungan Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan yang dianggap gagal menunjukkan perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dalam masyarakat tempatan.

Terdahulu dilaporkan, Dr Aliakbar dalam satu kenyataan telah melahirkan rasa kecewa dengan uacapan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu majlis perasmian di Keningau baru-baru ini.

Tegas Jamal yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri 1, sewajarnya Dr Aliakbar perlu mencerminkan diri dan meletak jawatan sebelum menyerang pihak lain.

“Ini adalah kerana kenyataan beliau tidak menggambarkan keberadaan beliau yang dilantik di dalam Kerajaan GRS – PH, yang menyokong Kerajaan Perpaduan di peringat Persekutuan.

“Kenyataan beliau adalah tidak bertanggungjawab, cuai dan boleh mengelirukan pandangan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

“Sebagai ADUN dilantik di dalam Kerajaan GRS – PH yang menyokong Kerajaan Perpaduan, beliau mempunyai akses untuk boleh memohon pencerahan dan penerangan daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Kerajaan.”

Bidasnya, tindakan menyerang dan mengapi-apikan sentimen agama di negeri Sabah yang harmoni dan aman damai tidak langsung melambangkan semangat mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan akan sentiasa dan terus komited mengamalkan hormat iaitu perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan seperti yang termaktub di dalam enam nilai teras Malaysia Madani,” katanya lagi kepada UMNO Online. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.