Pelantikan BPUN Terengganu: Perubahan Demi Kembalikan Sokongan Kepada UMNO/BN – Pehimi

KUALA TERENGGANU, 8 Dis – Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Terengganu yang baharu adalah satu perubahan dilakukan bagi mengembalikan sokongan orang muda kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Mohd Pehimi Yusof menerusi hantaran di laman Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada Presiden di atas pelantikan baharu tersebut.

“Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas pelantikan Datuk Rozi Mamat selaku Pengerusi BPUN Terengganu yang baharu.

“Beliau dilihat sebagai wakil suara orang muda dan generasi baharu. Dengan kelebihan dan pengalaman menerajui kerajaan selaku Exco kerajaan negeri serta parti sebagai Setiausaha BPUN, pelantikan beliau dilihat sesuai dengan aliran politik semasa.

“Ini adalah satu perubahan yang dibuat oleh Presiden parti bagi mengembalikan sokongan orang muda kepada UMNO Negeri Terengganu setelah tidak mempunyai seorang pun wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun parlimen,” katanya.

Jelasnya, beliau menyokong penuh pelantikan tersebut dan berharap agar seluruh kepimpinan UMNO Negeri Terengganu memberikan dokongan kepada Rozi agar dapat mengemudi sekaligus mengembalikan kepercayaan pengundi.

“Saya menyokong penuh pelantikan ini dan berharap supaya kepimpinan UMNO Negeri Terengganu serta bahagian-bahagian memberikan sokongan kepada beliau.

“Kita yakin beliau dapat mengemudi UMNO Terengganu ke landasan yang tepat dan mengembalikan kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Cabaran yang dilalui sangat besar apabila mengambil alih kepimpinan parti dalam keadaan yang sangat lemah. Justeru, kerjasama dan sokongan semua pihak amat diperlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Said dan beranggapan bahawa para penyokong UMNO tidak seharusnya melupakan jasa beliau sepanjang memimpin.

“Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Said yang berjiwa besar untuk berundur dari jawatan Pengerusi BPUN Terengganu bagi memberi laluan kepada pelantikan baharu.

“Penyokong UMNO Negeri Terengganu tidak harus lupa jasa dan pengorbanan beliau yang sanggup memikul beban memimpin setelah parti ini hilang kuasa pada tahun 2018.

“Dengan semangat juang tinggi dan tidak mudah mengalah, Datuk Ahmad Said banyak membantu UMNO Terengganu. Beliau tetap berdiri teguh berdepan dengan Pas dalam PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya lagi.

Semalam UMNO Online melaporkan bahawa Datuk Onn Hafiz Ghazi telah dilantik sebagai BPUN Johor sementara Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi BPUN Terengganu yang berkuat-kuasa serta merta.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.