Mohd Rafi Mohon Semua Pihak Berpolitik Secara Sederhana Demi Bangunkan Negara

LABUAN, 8 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan saya menyeru semua pihak termasuklah pembangkang untuk berpolitik secara sederhana dan sama-sama menyokong usaha Kerajaan Perpaduan bagi membangunkan negara.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian ekoran kenyataan Pesuruhjaya Perhubungan Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan yang melahirkan rasa kecewa dengan ucapan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu majlis perasmian di Keningau baru-baru ini.

“Berlaku jujurlah dalam semua perkara tanpa ada niat untuk mengelirukan rakyat. Sememangnya kenyataan Dr Aliakbar ibarat menepuk air di dulang yang terpercik ke muka sendiri lantaran sewajarnya beliau ukur baju badan sendiri sebelum membidas pihak lain apatah lagi ia diambil dalam ruang ringkup yang tertutup dan tidak bijak.

“Apa yang pasti, kenyataan beliau hanya mengundang perkara negatif dan tidak memberi manfaat ke arah pembinaan suatu negara yang membangun dan kesinambungan kepada usaha pemulihan negara bangsa hari ini

“Apabila beliau bercakap soal berbaur kepartian bukankah sebenarnya Pas yang lebih banyak mengaplikasi sedemikian malah menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka, melabel siapa yang lebih Islam, soal halal haram dan syurga neraka acapkali menjadi bahan dalam lontaran ceramah politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Dalam hal ini, Mohd Rafi menegaskan agar mana-mana pihak janganlah bersifat jumud misalnya dengan membolehkan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Pas sedangkan jika pihak lain melakukan sedemikian maka semuanya salah.

“ Justeru, saya menyeru semua pihak termasuklah pembangkang sekalipun untuk menjadikan hal tersebut sebagai tauladan dengan mengelakkan apa-apa sahaja perkara yang boleh mengundang ketidasefahaman dalam kalangan masyarakat.

“Sewajarnya kita bersatu padu, berganding bahu dan membina kesepakatan bagi membantu PMX dan Kerajaan Perpaduan hari ini. Jika mahu berpolitik, tunggulah pilihan raya nanti kerana sekarang masa kita membina masa depan negara.”

Katanya, lihatlah tempoh setahun pentadbiran kerajaan Madani, maka negara kembali tenang daripada pelbagai krisis termasuk polemik politik.

“Rakyat mahukan kesejahteraan iaitu dapat bekerja, menyambung pengajian dan menjalani kehidupan dengan baik yang semuanya bertunjang kepada suasana negara yang stabil. Kerana itu, mohon semua pihak berpolitiklah secara sederhana dan sama-sama menyokong usaha untuk bangunkan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.