Ahmad Said Harap Pelantikan Rozi Mamat Sebagai Pengerusi BPUN Terengganu Suntik Semangat Baharu

KUALA TERENGGANU, 8 Dis – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berharap pelantikan Datuk Rozi Mamat sebagai pengerusi yang baharu dapat menyuntik semangat baharu dalam pentadbiran UMNO negeri itu.

Kata Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu, beliau membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan telah mencadangkan Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu sebagai penggantinya.

“Untuk makluman semua, keputusan yang telah saya buat ini adalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang baru yang lebih muda bagi meneraju UMNO Negeri Terengganu.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah bersama saya secara langsung atau tidak langsung membantu dalam tugasan sepanjang saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Justeru, Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terenganu itu memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam pentadbiran beliau selama ini.

“…jika ada kekasaran atau kekurangan yang telah saya lakukan sepanjang pentadbiran saya di dalam UMNO Negeri Terengganu,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pelantikan Rozi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.