Belanjawan Kedah 2024: Mohd Raqib Bidas Sanusi, Harap Dana Persekutuan Bangun Negeri

ALOR SETAR, 7 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan membidas pembentangan Belanjawan Kedah 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor kerana dilihat mengharapkan dana persekutuan untuk pembangunan negeri.

Jelasnya, beliau bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengenai belanjawan tersebut.

“Saya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Kedah mengenai Belanjawan Kedah 2024. Respons yang padat dan tepat dengan keadaan sebenar di Negeri Kedah.

“Sebenarnya kalau kita analisis baik-baik, sememangnya betul apa yang diperkatakan itu. setakat ini apa yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi boleh dikatakan mengecewakan.

“Bagaimana sesebuah negeri boleh mengharapkan kerajaan persekutuan untuk memberi peruntukan kepada projek-projek rakyat dan projek berimpak tinggi di negeri tersebut?” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, terdapat beberapa projek di bawah pentadbiran Menteri Besar Kedah itu telah terbengkalai, tertangguh dan terbiar.

“Belum lagi kita hendak berbincang mengenai berapa banyak projek yang gagal di bawah Sanusi. Projek terbengkalai, tertangguh dan terbiar. Malah ada lebih teruk, pelabur sudah pun lari. Sebut sahajalah projek mega apa yang telah jadi (siap)? Tiada.

“Tapi itulah Sanusi, bercakap memang gah, tapi buatnya belum tentu boleh atau tidak. Kita lihat sahaja Langkawi, sebelum menang Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau kata berilah masa beberapa minggu sahaja, Langkawi akan kembali meriah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Raqib turut melihat suasana di Langkawi seperti ‘bandar hantu’ kerana tiada pengunjung dan dikhuatiri sektor pelancongan di sana bakal tenggelam begitu sahaja.

“Tapi kita lihat sekarang bukan sahaja tidak meriah, malah sudah menjadi ‘bandar hantu’. Pelancong semakin kurang, hotel semakin terkubur, perhidmatan ‘e-hailing’ pun sudah ibarat terhengit-hengit bagai rumput di tengah jalan. Lambat laun, sektor pelancongan pun bakal tenggelam begitu sahaja.

“Kedah ini bumi bertuah, tapi kalau berada pada tangan yang salah, rakyat yang akan menerima padah,” katanya lagi.

Pada 26 November lalu media melaporkan, Kerajaan Kedah membentangkan Belanjawan 2024 sebanyak RM1.24 bilion dengan jangkaan defisit dianggarkan pada 13.92 peratus atau RM104.1 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan perbelanjaan mengurus yang disediakan dalam bajet tersebut berjumlah RM852.1 juta dengan RM100.39 juta daripadanya diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan Belanjawan Kedah 2024 bagai ‘melukut di tepian gantang’ kerana hampir semua projek memerlukan kuasa dan sokongan kerajaan persekutuan.

Jelasnya, belanjawan yang baru dibentangkan itu tiada peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu kerana kerajaan negeri gagal mewujudkan ruang baharu bagi menjana pendapatan negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.