Amizar Harap LTU Karak-Simpang Pelangai Jadi Realiti Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berharap projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau Central Spine Road (CSR) yang bernilai RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai menjadi realiti dalam masa terdekat.

Menurut beliau projek yang paling dinantikan warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ini diharapkan menjadi kenyataan setelah ia diperjuangkan oleh warga tempatan dan kepimpinan yang lain.

“Saya melihat, projek ini mendatangkan pelbagai manfaat besar dari aspek keseluruhan baik kepada warga DUN Pelangai dan orang awam. Salah satu yang boleh disentuh adalah manfaat ‘darjah ketersampaian’.

“Setelah lebih daripada 50 tahun jalan lama ini digunakan sebagai penghubung Simpang Pelangai ke Karak, maka, kondisi dan keselamatannya sudah tidak boleh diyakini dan dijamin lagi, apatah lagi jaraknya dari Simpang Pelangai ke Karak masih jauh dan menjadi keluhan sepanjang masa warga DUN Pelangai yang ingin keluar berurusan mahupun mencari rezeki.

“Ditambah pula, dengan kejadian banjir yang setiap tahun berlaku di Jalan Sungai Perdak, Jalan Sungai Gapoi dan Telemong sudah tentunya memutuskan hubungan jalan antara DUN Pelangai dan kawasan luar,” katanya ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, semalam.

Pada masa yang sama beliau turut memetik kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkaitan projek tersebut.

“Memetik sumber Berita Harian Online bertarikh 18 Mei 2023, Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama atau Central Spine Road bernilai RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai bakal dibina selepas reka bentuk laluan jajaran itu siap menjelang bulan Ogos ini.

“Menurut petikan tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan berkenaan bermula dari Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) ke Simpang Pelangai kira-kira sejauh 30 kilometer. Selepas itu, pihak JKR akan membawa kepada pengetahuan Kerajaan Negeri Pahang untuk dibentangkan menjelang Bajet 2024.

“Maka itu, saya memohon di dalam sidang dewan yang mulia ini, ianya bakal terlaksana untuk kemudahan masayarakat setempat dan lain-lain,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut membangkitkan soal jalan dan infrastruktur setempat yang lain untuk diberi perhatian sewajarnya.

“Di samping itu, saya memohon agar jalan daripada Pekan Telemong ke Simpang Pelangai (Jalan 9) dapat dibaik pulih dan dinaik taraf, terutamanya laluan rosak akibat banjir dan selekoh yang mengakibatkan kemalangan dan ketidakselesaan pengguna jalan raya sementara menunggu Projek Lingkaran Tengah Utama disiapkan serta pemasangan lampu jalan yang perlu untuk keselesaan dan keselamatan pengguna,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.