UMNO Tidak Berhasrat Jalin Semula Kerjasama Politik Dengan Pas – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 Dis – UMNO tidak berhasrat untuk menjalin semula kerjasama politik dengan PAS, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri itu berkata UMNO setakat ini juga tidak mendengar sebarang khabar angin atau cadangan mengenai kerjasama politik melibatkan kedua-dua parti.

“Kami minta supaya mimpi siang mereka (PAS) itu dapat dinoktahkan,” katanya sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan berkata PAS tidak menolak untuk bekerjasama semula dengan UMNO di sebalik sejarah ‘pahit’ hubungan kedua-dua parti.

Tuan Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata sebarang kerjasama dengan UMNO perlu melalui platform Perikatan Nasional yang turut dianggotai Bersatu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan kutipan sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata beliau mahu Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil, hadir mengemukakan pendapatnya mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada mesyuarat MT UMNO malam ini.

“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini bagi menyuarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama (Barisan Nasional) dan Pakatan Harapan bagi melakukan pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya yang mendakwa Isham sudah tiga kali tidak hadir ke mesyuarat MT UMNO.

Isham sebelum ini mendakwa kekalahan UMNO pada PRK Kemaman baru-baru ini berpunca daripada segelintir pemimpin parti itu yang bertindak menjadi ‘penjilat’ DAP.

PAS mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman melalui kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK itu Sabtu lepas dengan majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan penyandang Che Alias Hamid juga daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pada PRU15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.