UMNO Bukan ‘Barua’ Mana-mana Parti, Tolak Dakwaan Negatif Demi Perkukuh Perjuangan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 6 Dis – Tindakan segelintir pihak menuduh dan melabel UMNO sebagai barua lantaran terus mendukung kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini dibidas.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menganggap perkataan tersebut adalah tidak benar malah mengguris hati ahli-ahli UMNO terutamanya kepimpinan di bahagian-bahagian dan akar umbi yang selama ini sentiasa teguh bersama parti.

“UMNO dalam Barisan Nasional (BN) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua 30 ahli parlimen UMNO-BN mesti mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan. Keputusan ini tidak dibuat bersendirian kerana selepas itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa titah tersebut yang dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN.

“Selepas itu, keputusan mesyuarat MKT UMNO memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya UMNO-BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“Justeru, jangan jadikan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini sebagai ukuran orang Melayu menolak UMNO dan mengatakan ‘barua’ itu adalah amat menyakitkan para penyokong-penyokong parti,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau juga menegaskan bahawa adalah tidak benar sama sekali bahawa UMNO sanggup diperlakukan sedemikian sedangkan parti ini mempunyai aturan, perlembagaan dan tataetika malah telah lebih 70 tahun UMNO ditubuhkan.

“UMNO pernah menjadi teraju kerajaan dan tampuk kepada kepimpinan negara, keluar dari pelbagai kesulitan, pernah juga bergelar pembangkang dan kini setahun UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan menujukkan bahawa peranan kita amat nyata dan negara kembali stabil setelah melalui pelbagai krisis politik.

“Mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu demi masa depan rakyat dan negara. Dap dalam Pakatan Harapan, kita tidak boleh nafikan, dan Dap tidak pernah menganggu kerusi-kerusi UMNO apabila ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRK, berbanding PN yang akan mengambil kerusi tradisi UMNO.”

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak terikut-ikut hal yang negatif kerana hanya akan memburukkan inisiatif pengukuhan UMNO.

“Kita semua mesti berlapang dada, saling memberi penjelasan kepada akar umbi berkaitan keputusan yang kita terima dan memberi cadangan yang baik untuk meneruskan perjuangan.

“Ingatlah, kemenangan dan kekalahan Allah SWT yang tentukan, jangan hanyutkan spiritual tidak benar. Kita perlu terus bermuhasabah dan berusaha bagi memenuhi kehendak rakyat, apatah lagi UMNO adalah parti yang banyak jasa kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.