Setahun Malaysia Madani: Kerajaan Stabil Diperlukan Untuk Reformasi Institusi, Pinda Perlembagaan – Azalina

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kerajaan yang stabil diperlukan untuk mereformasikan institusi dan pindaan perlembagaan, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ini kerana katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan ianya berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Daripada persepi saya sebagai ahli parlimen selama lima penggal, kita tidak boleh menafikan bahawa negara Malaysia ini mempunyai undang-undang dan ianya berteraskan kepada perlembagaan.

“Apabila bercakap tentang reformasi institusi dan konsep Malaysia Madani, sudah tentu perlu banyak kita nyatakan dan kita uar-uarkan itu memerlukan pindaan kepada struktur utama iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sebabnya dalam masa setahun Kerajaan Madani ini, bagi bahagian undang-undang kita dapat lihat bahawa beberapa perubahan yang memberikan fokus lebih kepada ‘people centric’. Contohnya seperti undang-undang kebankrapan, jabatan bantuan guaman dan jenayah seksual kanak-kanak,” katanya ketika sesi wawancara di Bernama TV.

Jelasnya, segala pindaan yang dilakukan sepanjang tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Madani ini adalah pada fasa pertama.

“Kita juga menyentuh kepada hukuman mati mandatori. Kesemuanya kalau boleh saya gambarkan secara mudah, fasa pertama. Dalam dialog dan perbincangan berkenaan reformasi institusi ini, rakyat secara menyeluruh menyentuh pelbagai sektor yang memang melihat kepada pindaan perlembagaan untuk menggerakkan reformasi tersebut.

“Kedua, kita tidak boleh lupa Malaysia ini adalah dalam format federalisme iaitu negara persekutuan. Kita mempunyai perlembagaan. Kita mempunyai senarai pusat, negeri, dan bersama. Maksud saya ialah, setiap benda yang kita nak buat juga perlu mengambil kira pandangan dan ukuran daripada kerajaan negeri. Sebab contohnya, dalam beberapa perkara tidak semuanya di bawah kuasa kerajaan pusat.

“Jadi, itu sebabnya kalau kita lihat hari ini secara umum apabila kita tengok Kerajaan Perpaduan menyentuh isu elektrik, reusable energy… itu semua dalam senarai bersama. Jadi, maksud saya ialah ini bukan dalam premis defensif tetapi menyatakan bahawa apabila nak bercakap tentang perubahan yang begitu besar, perlu konsultasi dan pandangan bukan sahaja daripada aspek-aspek ‘stakeholders’ tetapi juga aspek badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi gambaran bahawa akan wujud lebih banyak perubahan dalam bidang undang-undang pada tahun hadapan.

“Itu sebabnya pada tahun 2024, insya-Allah kita akan melihat kepada lebih banyak fokus kepada kewujudan lebih banyak perubahan yang nak dinyatakan terutama sekali dalam bab undang-undang.

“Tetapi, apabila saya di parlimen saya selalu menerangkan bahawa antara elemen yang paling penting sekali untuk kita lakukan reformasi institusi dan pindaan perlembagaan adalah kerajaan stabil.

“Kalau kerajaan itu sentiasa tergugat, macam mana kita nak buat perubahan? Sebab kesan kepada perubahan yang nak dilakukan akan memberi kesan kepada ramai orang terutama sekali stakeholder, pegawai kerajaan dan lain-lain. Jadi, banyak kiraan yang perlu dikira untuk kita melihat kepada pindaan ataupun perubahan yang nak dilakukan. Itu memerlukan kestabilan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.