Setahun Madani: Lima Ikhtisar Keberhasilan Kepimpinan Ahmad Zahid Sebagai TPM, Menteri KKDW


GENAP setahun Kerajaan Perpaduan telah memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat berteraskan Agenda Malaysia MADANI, dengan kepimpinan barisan Kabinet yang begitu kompetan telah menjadikan dasar itu sebagai pemangkin kepada kesejahteraan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setahun menganggotai Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah malaksanakan pelbagai inisiatif yang meliputi pelbagai manfaat kepada keseluruhan kelompok masyarakat.

Pencapaian tersebut merangkumi lima ikhtisar keberhasilan kepimpinan Ahmad Zahid sebagai Menteri KKDW dan beberapa Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikannya.

Pertama: Pembangunan Modal Insan

Ahmad Zahid telah mewujudkan usaha ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan untuk memenuhi keperluan industri negara. Melalui Majlis TVET Negara, beliau telah berjaya menubuhkan Sekretariat TVET bagi menyelaraskan program dan kursus di 1,344 institusi TVET seluruh negara.

Kesungguhan beliau terserlah dengan wujudnya sistem permohonan TVET baharu yang dikenali sebagai UP_TVET yang berfungsi seperti mana portal pengambilan pelajar UPU. Dalam masa yang singkat, portal ini berjaya mencatatkan rekod permohonan pelajar mengikuti aliran TVET seramai 62,000 orang daripada hanya 15,000 penawaran.

Ahmad Zahid juga berjaya mewujudkan kolaborasi di antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri, terdiri daripada syarikat-syarikat dan konglomerat yang terkemuka seperti Petronas, DRB Hicom, GAMUDA Berhad, Turkish Aerospace Inc., TH Brandenburg University of Applied Sciences dan banyak lagi bagi menjayakan pemerkasaan TVET di Malaysia.

Tidak terhenti di situ, usaha pembangunan modal insan telah diperkasa apabila Ahmad Zahid berjaya memperkasa penghayatan Islam, dan ilmu Al-Quran seawal usia melalui Program Pra Tahfiz KEMAS, dengan sasaran untuk melahirkan seramai 100 ribu huffaz cilik menjelang tahun 2026.

Usaha ini diperhebat lagi apabila beliau mengusulkan modul pembelajaran berasaskan Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) 2.0 di 10,740 buah TABIKA KEMAS seluruh negara. Modul ini sebagai nilai tambah kepada kurikulum Pendidikan Islam sedia ada, melibatkan kolaborasi di antara Yayasan Pahang, Yayasan PINTA dan UPSI.

Selain itu, melalui MARA, beliau juga berjaya mewujudkan program baharu melalui penawaran pelbagai program dwi persijilan iaitu sijil profesional dan diploma di Kolej Profesional MARA (KPM). Pada masa yang sama, beliau telah menyasarkan sebanyak 150,000 peserta untuk menyertai TVET Jelita, khusus untuk golongan wanita di seluruh negara.

Kedua: Pembangunan Infrastruktur

Beberapa bulan selepas menduduki jawatan, berlaku banjir di Pantai Timur. Kejadian banjir ini menyebabkan terputusnya laluan dari Felda Selancar ke kawasan sekitar. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, beliau dengan segera mengarahkan pembinaan Jambatan Bailey bagi menghubung kembali laluan yang terputus dan hanya 72 jam laluan itu dapat digunakan kembali.

Beliau turut mengarahkan pembinaan lapan buah dewan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di sekolah yang sering dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir di seluruh negara agar mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS ini mendapat keselesaan yang sewajarnya.

Komitmen Ahmad Zahid sebagai Menteri KKDW turut menyumbang kepada infrastruktur di luar bandar seperti:

•RM300 juta bagi menaiktaraf bekas jalan Ulu Skrang;
•RM200 juta untuk membaikpulih jalan perkampungan Orang Asli di Gua Musang;
•RM25 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pemandi;
•RM5.76 juta untuk pembinaan jambatan konkrik di Nanga Entalau; dan
•Pelbagai lagi projek infrastrusktur yang lain.

Antara lain, beliau juga berjaya memacu KKDW ke arah mencapai KPI yang telah ditetapkan seperti:
•Kejayaan menyiapkan 1,500 projek akses perhubungan luar bandar berbanding sasaran 1,000 projek dengan kadar pencapaian 150 peratus;
•Kejayaan menyiapkan 388 projek Ameniti Sosial seperti balai raya, masjid, surau, tandas awam dan sebagainya berbanding sasaran 200 projek dengan kadar pencapaian sebanyak 194 peratus; dan
•Banyak lagi projek-projek KKDW yang telah berjaya mencapai sasaran pada tahun 2023.

Sebagai ahli Parlimen Bagan Datuk, beliau juga tidak meminggirkan usaha pembangunan di kawasan ini, dengan merealisasikan kewujudan Jambatan Bagan Datuk yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah. Jambatan ini dapat menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan bandar-bandar utama seperti Lumut dan Manjung, seterusnya memangkin ekonomi dan kesejahteraan penduduknya.

Ketiga: Kesejahteraan Rakyat

Sebagai Menteri KKDW yang membawa misi dan visi untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran di kawasan luar bandar, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 63.75 juta, yang memberi manfaat kepada seramai 318,642 orang pekebun kecil getah di seluruh negara, di mana, masing-masing menerima bantuan berjumlah RM 200 seorang.

Keprihatinan Ahmad Zahid juga ditonjolkan melalui usaha beliau berusaha menaikkan Elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat Sukarela (PPMS), KEMAS daripada RM500, kepada RM800 sebulan yang memberi manfaat kepada 9,439 orang.

Hasil usaha beliau juga, sagu hati one-off sebanyak RM900 ribu turut berjaya diagihkan, kepada 900 orang penerima, terdiri daripada Batin, Penghulu, Pengerusi, dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), dengan peruntukan sebanyak RM6.4 juta kepada 437 orang penerima.

Selain itu, Ahmad Zahid melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga telah berjaya menubuhkan Urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli, yang dipengerusikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, bagi menggalakkan aktiviti perniagaan, dan meningkatkan taraf ekonomi dalam kalangan Orang Asli.

Keempat: Penghayatan Islam dan Pembangunan Halal

Umum mengetahui bahawa Ahmad Zahid melalui beberapa Yayasan yang diterajui beliau, memberikan tumpuan khusus ke arah pembangunan Islam, baik dari sudut fizikal mahupun spiritual.

Meskipun kini beliau menjawat sebagai Menteri KKDW, usaha ke arah memperkasa penghayatan Agama Islam masih menjadi keutamaan. Ahmad Zahid telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan, bagi mengangkat kedudukan al-Quran dari segenap aspek.

Ini termasuklah menghimpunkan 23,000 huffaz dari seluruh negara dan menyempurnakan 1,000 kali khatam al-Quran serta kembali mengadakan Zikir Perdana Sedunia yang dianjurkan di Putrajaya.

Sepertimana usaha beliau dalam mengangkat martabat Islam dengan memperkasa modal insan, melalui pendekatan TABIKA KEMAS dalam melahirkan huffaz cilik, tumpuan yang sama turut diberikan dalam memperkasa sektor industri halal negara, dengan merealisasikan proses kelulusan permohonan persijilan halal hanya dalam tempoh 23 hari bekerja sahaja berbanding sebelumnya boleh mencecah sehingga satu tahun bagi urusan yang sama.

Ahmad Zahid turut berjaya merealisasikan penganjuran World Halal Business Conference (WHBC) kali ke-15 di London bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.

Kelima: Keterjaminan Makanan Negara

Beliau berjaya menggerakkan usaha membangunkan estet padi FELCRA di Seberang Perak, dengan keluasan lebih 4,000 hektar dengan hasil keluaran kasar untuk 2 musim setahun.

Selain itu, Ahmad Zahid turut berjaya merealisasikan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah dalam membangunkan antara 15,000 hingga 20,000 hektar tanah untuk penanaman padi secara berkelompok yang menyediakan stok beras hampir 300,000 tan setahun.

Berdasarkan konsep wahdatul fiqh beserta pendekatan Malaysia MADANI, diharapkan 12 bulan lagi rakyat di seluruh negara akan dapat melihat dan merasi lebih banyak hasil berbentuk pembangunan, ekonomi dan kesejahteraan untuk kelangsungan hidup seluruh rakyat Malaysia.

Ternyata, banyak usaha yang telah dilakukan oleh Ahmad Zahid berjaya membuahkan hasil yang boleh dirasai dan dilihat secara langsung oleh kumpulan sasar dalam tempoh hanya 12 bulan usia Kerajaan Perpaduan ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.