Belanjawan Johor 2024: MB Seru ADUN Kerja Keras, Membangunkan Negeri

JOHOR BAHRU, 4 Dis – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bersama-sama bekerja keras bagi membangunkan negeri tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan rasa syukur kerana telah selesai sesi penggulungan Belanjawan Johor 2024.

“Syukur Alhamdulillah, selesai sesi penggulungan Belanjawan Johor 2024 bertemakan ‘Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat’.

“Dalam sesi penggulungan ini, saya menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan seperti kayu ukur Maju Johor 2030, Johor-Singapura Zon Ekonomi Khas (JS-SEZ), perkasa Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT, cadangan pindaan Akta Pengurusan Strata, Bantuan Ihsan Khas untuk mangsa banjir dan banyak lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua ADUN atas komitmen yang diberikan sepanjang pembentangan belanjawan ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ADUN atas komitmen yang diberikan dalam membawa suara rakyat di kawasan masing-masing untuk dibahaskan dan diperjuangkan, demi kemajuan negeri serta kemakmuran Bangsa Johor.

“Saya sedar dan insaf, banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya menyeru seluruh ADUN agar sama-sama bekerja keras membangunkan Negeri Johor yang kita cintai ini.

“Semoga Belanjawan Johor 2024 ini akan memberikan satu nafas baru kepada Bangsa Johor dalam memacu pembangunan negeri yang lebih lestari. Insya-Allah,” katanya.

Pada 23 November lalu Kerajaan Negeri Johor telah membentangkan Belanjawan Johor 2024 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus sebanyak RM4.21 juta pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Belanjawan Johor 2024 yang bertemakan ‘Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat’ itu merupakan belanjawan lebihan bagi tahun kedua berturut-turut bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, pihaknya turut menyasarkan unjuran hasil negeri berjumlah RM1.804 bilion tahun depan, manakala unjuran perbelanjaan pula dianggarkan sebanyak RM1.799 bilion. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.