Belanjawan Kedah 2024 Ibarat ‘Melukut Di Tepian Gantang’, Gagal Wujud Ruang Jana Pendapatan Baharu

ALOR SETAR, 30 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan Belanjawan Kedah 2024 bagai ‘melukut di tepian gantang’ kerana hampir semua projek memerlukan kuasa dan sokongan kerajaan persekutuan.

Jelasnya, belanjawan yang baru dibentangkan itu tiada peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu kerana kerajaan negeri gagal mewujudkan ruang baharu bagi menjana pendapatan negeri.

“Belanjawan yang dibentangkan tiada peningkatan signifikan sekiranya kita bandingkan dengan tahun-tahun terdahulu. 2022 sejumlah RM1.35 bilion, 2023 (RM1.059 bilion) dan 2024 (RM1.24 bilion). Tidak ada peningkatan ketara dan wujud penurunan kerana kerajaan negeri gagal mewujudkan ruang-ruang baharu untuk menjana pendapatan negeri.

“Belanjawan Kedah 2024 menjadi bukti bahawa projek-projek dalam belanjawan ini tidak kiralah projek mega, projek berimpak tinggi atau projek rakyat, hampir semua memerlukan sokongan kuasa persekutuan. Mudahnya, projek-projek Belanjawan Kedah 2024 bagai ‘melukut di tepian gantang’ dan Sanusi melukut di tepian kuasa persekutuan.

“Tidak ada apa-apa elemen kelainan sama sekali di dalam Bajet Kedah 2024 kerana 75 peratus daripada elemen untuk menjadikan ‘Kedah Hebat’ perlu ada komitmen dan bantuan daripada kerajaan pusat yang Perdana Menterinya itu sering dicaci dan dihina oleh Menteri Besar Kedah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, kerajaan Negeri Kedah gagal menunaikan tanggungjawab dalam menyantuni dan memenuhi keperluan pelabur untuk menjalankan projek-projek mega negeri.

“Acap kali apabila dicanangkan di mana-mana pembentangan dengan nama-nama seperti ‘Kedah Rubber City’, ‘Special Border Economic Zone’ dan ‘Kedah Science and Technology Park’… hakikatnya kerajaan negeri gagal tunaikan tanggungjawab menyantuni dan memenuhi keperluan pelabur.

“Tak perlu hiasi pembentangan bajet dengan persediaan kerajaan Negeri bagi membina lebih banyak loji rawatan air (LRA), air tidak terhasil (NRW) dan sebagainya. Acap kali saya ajukan persoalan, apa sudah jadi dengan LRA Bukit Selambau dan beberapa LRA yang sedang dalam pembinaan? Adakah ianya diuruskan dengan baik? Menteri Besar pernah berjanji bahawa segalanya akan diselesaikan pada Ogos 2023? Apa sudah jadi? Sudah ‘dicapati’?

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)? Kerajaan negeri bakal terima RM2.5 billion untuk tujuan ambil alih tanah dalam tempoh 90 hari. Di mana syarikat itu beroperasi? Mereka cakap atas kedai nasi ayam di Pandan Mewah, Selangor. Apa yang paling membimbangkan projek berimpak tinggi ini kekal di letakkan sebagai projek yang bakal menjadi ‘katalis’ pembangunan baru negeri dalam keadaan tiada persefahaman dengan kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan kesangsian terhadap perancangan Tahun Melawat Kedah kerana nampaknya tiada kesungguhan kerajaan negeri dalam merealisasikannya.

“Tahun Melawat Kedah? Apa perancangan? Tahun 2025 mahu dilancarkan tetapi sehingga sekarang tiada maklumat permulaan dan pengakhiran, ataupun baru nak bincang? Saya sangsi kesungguhan kerajaan negeri mahu menjayakan program ini. Teruskan bergaduh dengan Menteri Pelancongan, pada pandangan saya kalau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tak dilibatkan alamatnya, program ni bakal masuk ‘longkang’.

“Unsur nadir bumi (REE)? Saya mencadangkan agar kerajaan persekutuan gantung dulu sebarang inisiatif REE di Negeri Kedah. Umum sedia maklum akan skandal REE Kedah yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar dan bekas Ketua Eksekutif MBI. Saya kurang yakin akan kredibiliti dan keupayaan kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar bagi mengendalikan sumber yang sangat berpotensi ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.