Melindungi, Memajukan Hak Asasi Manusia… Kerajaan Cadang Pinda Sebelas Fasal RUU Akta 597

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Kerajaan bercadang untuk meminda 11 Fasal Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 597 bagi melindungi dan memajukan hak asasi manusia di negara ini.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah tersebut diambil untuk terus memperkasa fungsi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang kekal relevan sebagai organisasi yang progresif.

“Kerajaan kini mengambil langkah ini sebagai fasa penambahbaikan yang berikutnya untuk terus memperkasa fungsi SUHAKAM dalam membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia di Malaysia selaras dengan seksyen 4 Akta 597.

“Kerajaan Perpaduan berpandangan telah tiba masanya bagi kita menerima hakikat bahawa nilai Ihsan dalam konsep Madani sewajarnya menjadi teras dalam semua polisi Kerajaan Madani, tidak kira polisi yang berkaitan dengan sektor awam mahupun sektor swasta.

“Hal ini kerana, pandemik COVID-19 telah membuka mata kita bahawa kewajipan untuk melindungi hak asasi manusia mencakupi pelbagai dimensi dan pemegang taruh, termasuk sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (pindaan) bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, cadangan pindaan akta tersebut turut menggambarkan usaha Kerajaan Perpaduan mencorak landskap reformasi institusi negara.

“Komitmen ini telah saya nyatakan sewaktu Hari Hak Asasi Manusia 2022 dan juga melalui pelbagai kenyataan media sepanjang tahun ini, tahun 2023.

“Usaha ini juga adalah untuk memastikan tatakelola dan pengurusan hak asasi manusia berkesan bagi memastikan semua pemegang taruh menjunjung dan menghormati prinsip-prinsip hak asasi manusia selaras dengan prinsip Madani, serta memastikan SUHAKAM dapat melaksanakan tanggungjawab statutorinya secara lebih efektif.

“Tiada kompromi dalam hal ini, malah hak asasi manusia merupakan antara agenda terpenting untuk Kerajaan pada hari ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan beberapa fasal penting termasuklah Fasal 4 yang memasukkan seksyen baharu 6A ke dalam Akta 597 bagi mengadakan peruntukan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

“Fasal 4 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 6A ke dalam Akta 597 agar mengadakan peruntukan bagi pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak dalam kalangan anggota Suruhanjaya dengan fungsi untuk menguruskan perkara hak asasi manusia yang berhubungan dengan kanak-kanak.

“Tempoh jawatan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan setiap Pesuruhjaya Kanak-Kanak ialah tempoh keanggotaan mereka dalam Suruhanjaya. Seksyen baharu ini juga menjelaskan bahawa fungsi Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah seksyen ini hendaklah sebagai tambahan kepada, dan tidak mengurangkan, fungsi mereka sebagai anggota Suruhanjaya.

“Seksyen ini juga memperuntukkan bahawa dalam menjalankan fungsi mereka, Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak hendaklah tertakluk kepada arahan Pengerusi Suruhanjaya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa cadangan pindaan ini bakal memperkukuhkan lagi pemeliharaan hak asasi manusia di Malaysia.

“Sesungguhnya, sebagaimana saya pernah nyatakan dalam Dewan yang mulia ini semasa pembentangan usul untuk membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM bagi tahun 2020, Kerajaan Perpaduan akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan hak asasi manusia ke arah tiada siapa tertinggal, dengan izin, will strengthen and enhance human rights towards leaving no one behind.

“Kerajaan Perpaduan berkeyakinan cadangan pindaan ini akan memperkukuhkan lagi pemeliharaan hak asasi manusia di Malaysia. Kita memerlukan sebuah organisasi hak asasi manusia negara yang kukuh, bebas, berkesan… yang berkhidmat untuk rakyat dan hanya untuk rakyat.

“Saya juga percaya dengan cadangan pindaan kepada Akta 597, SUHAKAM akan dapat memperkukuhkan peranan dan fungsi mereka dan tidak lagi menjadi harimau yang tidak bertaring. Pada masa yang sama, saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang pindaan yang dicadangkan ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia sejagat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.